Ubat kumur mulut - colgate my
Badge field

Rawatan Untuk Gusi Bengkak dan Berdarah

Published date field Terakhir dikemaskini:

Sesiapa sahaja boleh mengalami masalah gusi. Sama ada anda memberus atau memflos gigi dengan terlalu kuat dan menyebabkan gusi anda menjadi merah, bengkak atau berdarah. Gusi yang sihat biasanya akan pulih dengan cepat daripada trauma ringan, namun sekiranya gusi anda bengkak dan berdarah selama beberapa hari, kemungkinan terdapat masalah lain yang menyebabkannya.

Kemungkinan Penyebab Gusi Berdarah

Gusi yang normal berwarna merah jambu dan pejal apabila disentuh. Jika gusi anda kelihatan merah, bengkak atau sensitif, ini merupakan tanda-tanda penyakit gusi. Peringkat pertama penyakit gusi ialah gingivitis, penyebab paling lazim untuk masalah gusi dalam orang dewasa. Di Malaysia, kebarangkalian penyakit gusi di kalangan orang dewasa seperti yang dilaporkan dalam National Oral Health Survey of Adults (NOHSA), Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2010 menunjukkan bahawa 94% daripada golongan dewasa mempunyai penyakit gusi.

Namun begitu, terdapat penyebab lain gusi menjadi bengkak atau berdarah seperti:

  • Seseorang yang mengalami penyakit pendarahan
  • Kehamilan dan perubahan hormon wanita
  • Pemakaian gigi palsu yang tidak muat
  • Memberus dengan terlalu keras
  • Cara memflos yang salah
  • Jangkitan sistemik
  • Rawatan kemoterapi
  • Golongan yang mengambil ubat pencair darah
  • Merokok atau mengunyah tembakau
  • Kekurangan vitamin

Langkah-langkah Pencegahan

Penjagaan kebersihan mulut yang betul akan membantu mencegah masalah gusi bengkak dan berdarah. Memberus gigi selama dua minit dua kali sehari dan memflos sekali sehari adalah penting. Cara memberus gigi dengan betul seperti menggunakan pergerakan pendek dan lembut, memberi lebih perhatian kepada garis gusi, gigi belakang dan sebarang tampalan, korona atau pemulihan yang anda ada. Pertimbangkan untuk menggunakan berus gigi dengan bulu berus yang lembut dan kepala yang fleksibel untuk mengelakkan tekanan berlebihan pada gusi anda.

Mulakan rutin pemflosan di waktu malam sebelum tidur. Pemflosan antara ruang gigi yang betul, membengkok benang flos sekeliling gigi dengan bentuk "C" dan menggunakan pergerakan ke atas dan ke bawah yang perlahan dan juga di bawah garis gusi adalah penting. Pastikan anda menggunakan bahagian flos yang baru untuk setiap gigi supaya anda tidak memindahkan plak dari satu gigi ke gigi yang lain. Oleh sebab pengunaan flos dapat membantu menyingkirkan bakteria plak dan cebisan makanan, jadi ia merupakan langkah yang penting untuk mencegah penyakit gusi.

Gusi Kanak-kanak Bengkak dan Berdarah

American Academy of Periodontology menyatakan bahawa penyakit gusi adalah biasa dalam kalangan kanak-kanak, tetapi ia dapat dicegah dan dirawat. Mereka menyarankan supaya memperkenalkan tabiat memberus gigi kepada kanak-kanak seawal semungkin dan menjadualkan pemeriksaan gigi yang kerap untuk merawat masalah berkaitan gusi atau gigi.

Jika anak anda bakal mendapat gigi baru, kawasan tersebut akan kelihatan bengkak dan merah. Gunakan ais pada kawasan itu untuk mengurangkan keradangan. Gula-gula keras atau makanan rangup boleh melukakan gusi kanak-kanak dan mengakibatkan bengkak dan pendarahan. Ia juga biasa untuk kanak-kanak mencederakan mulut mereka apabila mereka terjatuh atau bermain. Jika kecederaan itu kelihatan teruk dan pendarahan berlaku lebih dari 10 minit, sila dapatkan rawatan doktor.

Rawatan

Untuk kes gusi bengkak yang ringan, bersihkan gusi dengan teliti dan kumur air garam dapat mengurangkan bengkak. Untuk gusi berdarah, menekankan gusi dengan kain kasa yang dicelup dalam air berais atau uncang teh yang lembap boleh memberikan kelegaan. Mayo Clinic menyarankan penggunaan ubat pelega yang boleh didapati di farmasi, termasuk Ibuprofen atau Acetaminophen, untuk mengurangkan rasa sakit.

Rawatan terbaik untuk gingivitis ialah pembersihan gigi profesional untuk menanggalkan tartar dan plak. Memberus gigi dengan ubat gigi antimikrobial dapat melawan kuman bakteria dan membantu mengurangkan plak, gingivitis, pembentukan tartar dan nafas berbau antara lawatan ke doktor gigi anda.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.