Masalah Batu Tonsil dan Nafas Berbau

Masalah Batu Tonsil dan Nafas Berbau

 

Apa masalahnya dengan batu tonsil? Nafas berbau, kerengsaan dan tanda putih di belakang tekak anda merupakan beberapa tanda anda menghidap batu tonsil. Namun begitu, patutkah anda bimbang tentangnya? Bukan semua orang ada batu tonsil dan ramai orang yang mengalaminya tidak merasa terganggu. Jika anda bimbang tentang benda putih yang kelihatan seolah-olah tertanam dalam tonsil anda, berikut ialah semua maklumat yang perlu anda tahu berkenaan batu tonsil.

Apakah Penyebab Batu Tonsil

Apabila anda membuka mulut anda dan berkata "aaaa", selalunya anda dapat lihat dua kelenjar, yang dikenali sebagai tonsil, di bahagian belakang. Tonsil membantu sistem imun anda dengan menapis virus atau bakteria yang memasuki tubuh melalui mulut, atau seperti yang dinyatakan oleh American Academy of Otolaryngology, tonsil ialah "barisan pertahanan pertama tubuh anda".

Walaupun kedengaran menjijikkan, tonsil anda diselaputi oleh mukus, iaitu mukus sama yang meliputi bahagian dalam mulut anda. Di sepanjang lapisan ini terdapat beberapa lubang dan kripta. Bilangan kripta tonsil setiap orang adalah berbeza. Di dalam kripta atau lubang inilah cebisan makanan, bakteria dan sisa lain boleh tersangkut. Sisa ini terkalsifikasi atau mengeras lalu berubah menjadi batu tonsil. Jika tonsil anda selalu mengalami keradangan atau kerengsaan, batu tonsil akan lebih cenderung terbentuk.

Adakah Ia Menyebabkan Nafas Anda Berbau?

Kebanyakan orang yang mempunyai batu tonsil tidak menghadapi sebarang masalah yang berkaitan dengannya. Seperti yang dinyatakan dalam kajian pada tahun 2013 yang diterbitkan dalam Journal of Clinical and Diagnostic Research, batu tonsil jarang terbentuk. Saiznya juga sangat kecil. Walaupun banyak orang yang mempunyai batu tonsil tidak mengalami apa-apa simptom dan mungkin tidak dapat melihat batu tonsil mereka, nafas berbau dan tanda-tanda serta symptom lain boleh dikaitkan dengan batu tonsil.

Batu tonsil boleh menjadi penyebab bagi halitosis, dan ia boleh dikaitkan dengan kira-kira 3 peratus daripada kes nafas berbau, seperti yang dinyatakan dalam ulasan yang diterbitkan dalam Otolaryngology Head and Neck pada tahun 2014. Ulasan tersebut juga mencadangkan supaya lebih banyak penyelidikan dijalankan untuk mengetahui setakat mana peranan batu tonsil dan tonsil sebagai penyebab nafas berbau.

Masalah Batu Tonsil Yang Lai

Semakin besar batu tonsil tersebut, semakin besar kemungkinan ia menimbulkan simptom, seperti yang dinyatakan dalam laporan kes yang diterbitkan dalam Journal of Surgical Case Reports pada tahun 2014. Laporan kes tersebut memaparkan pengalaman seorang pesakit berusia 17 tahun yang menghidap disfagia atau kesukaran menelan. Para doktor yang merawat beliau menemui sebiji batu tonsil yang besar pada tonsil kirinya dan mengeluarkan batu dan tonsil daripada pesakit tersebut.

Nafas berbau, kesukaran menelan dan keradangan - batu tonsil menyebabkan ketidakselesaan. Namun begitu, berita baiknya ialah masalah daripada batu tonsil ini jarang berlaku dan anda boleh mencegahnya daripada berulang

Dengan selalu memberus gigi, cebisan makanan, bakteria dan sisa lain akan dikeluarkan daripada mulut anda sebelum ia dapat melekat pada tonsil. Jika anda bimbang tentang nafas berbau, tidak kira sama ada berkaitan dengan batu tonsil atau tidak, berkumur dengan ubat cuci mulut dapat membantu menyegarkan nafas dan membunuh sebahagian besar bakteria di dalam mulut.

Jika batu tonsil menyebabkan anda berasa tidak selesa atau menimbulkan masalah lain, anda perlu berjumpa doktor gigi atau doktor anda. Walaupun tonsilektomi atau pembedahan untuk membuang tonsil kini tidak lagi begitu kerap dilakukan, ia merupakan cara terbaik untuk mengelakkan batu tonsil dan masalah lain berkaitan tonsil yang anda hadapi.

Bayangkan tonsil anda seperti apendiks mulut anda. Ia membantu sistem imun anda, tetapi jika ia menyebabkan masalah, anda boleh hidup tanpanya.

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.