cara atasi gusi berdarah saat hamil - colgate my

Gusi Berdarah Semasa Kehamilan: Adakah Anda Harus Bimbang?

Tahniah, anda hamil! Anda bakal merasai kebahagiaan yang tidak pernah anda alami sebelum ini. Anda juga akan mengalami beberapa emosi, kesakitan dan gejala lain yang tidak pernah anda alami sebelum ini. Satu keadaan yang mungkin mengejutkan anda ialah gusi berdarah. Jika anda tidak menjangkakan hal ini, ini mungkin agak membimbangkan anda. Tetapi gusi berdarah semasa kehamilan bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan. Namun begitu, anda harus mengambil beberapa langkah penting untuk mengawalnya demi keselesaan dan ketenangan anda.

Mengapakah Gusi Anda Berdarah Semasa Kehamilan?

Kehamilan ialah satu daripada lima peringkat dalam kehidupan wanita di mana perubahan hormon membuat anda lebih terdedah kepada masalah kesihatan mulut. Ketika anda hamil, tahap progesteron yang lebih tinggi menjadikan anda lebih mudah terkena gingivitis, iaitu bentuk penyakit gusi ringan yang disebabkan oleh bakteria yang menumpuk di sekitar garis gusi anda dan berubah menjadi plak (filem lembut, melekit, tidak berwarna). Gingivitis kehamilan boleh menyebabkan gusi anda menjadi lembut dan bengkak, sebab itulah gusi sering berdarah ketika anda memberus dan memflos gigi.

Apakah Komplikasi yang Boleh Terjadi Akibat Gingivitis?

Gingivitis tidak hanya menjejaskan wanita hamil. Menurut statistik yang diterbitkan dalam Journal of Dental Research di AS, hampir separuh daripada orang dewasa berumur lebih 30 tahun di AS (secara tepat 47.1 peratus) mengalami beberapa bentuk penyakit gusi. Jika tidak dirawat, gingivitis boleh berkembang menjadi periodontitis. Bentuk penyakit gusi yang lebih teruk ini boleh menyebabkan gigi anda longgar atau tercabut. Penyakit periodontal pada wanita hamil merupakan faktor risiko kepada masalah kelahiran seperti:

  • Kelahiran pramatang
  • Pertumbuhan janin terbantut
  • Berat bayi lahir rendah
  • Pra-eklampsia
  • Dan diabetes gestasi

Oleh itu, penting untuk mengamalkan kebersihan mulut yang baik dan berjumpa pakar gigi anda secara berkala semasa anda hamil. Hubungi mereka untuk mengetahui jumlah lawatan yang mereka syorkan untuk keperluan anda.

Apa yang Boleh Anda Lakukan Mengenai Gusi Berdarah Semasa Kehamilan?

Penjagaan mulut yang betul sebelum, semasa dan selepas kehamilan anda akan membantu mencegah masalah ini dan memastikan kesihatan bayi anda terjaga semasa di dalam kandungan dan selepas bersalin.

  • Gunakan berus gigi bulu lembut.
  • Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.
  • Jangan lupa untuk memberus lidah anda.
  • Bersihkan celah gigi anda dengan flos, flos air atau berus antara gigi.
  • Gunakan bilasan mulut antimikrob.
  • Gunakan pengikis lidah.
  • Berjumpa dengan pakar gigi anda.

Pakar gigi anda akan dapat memantau kesihatan gigi dan gusi anda untuk sebarang keadaan yang dialami termasuk gingivitis, dan akan dapat memberi anda petua dan panduan untuk memastikan pendarahan adalah minimum. Sekiranya anda melihat banyak darah pada berus gigi atau ketika anda meludah, hubungi pakar gigi anda dan maklumkan kepada mereka. Mereka mungkin akan menjadualkan janji temu sebagai langkah keselamatan untuk memastikan anda tidak mengalami keadaan yang lebih serius.

Sekiranya anda mengalami gejala gingivitis semasa hamil, jangan risau, sebenarnya itu ialah perkara biasa. Cuma pastikan anda mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan gejala itu terkawal dan sentiasa berhubung dengan pakar gigi anda. Anda boleh bersama-sama membincangkan pilihan terbaik yang disesuaikan mengikut keperluan anda. Malah, anda boleh menarik nafas lega kerana bakal melahirkan bayi yang sihat dan masa depan kesihatan mulut yang akan membuat anda tersenyum.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.