Semua yang anda perlu tahu mengenai pelindung mulut - colgate

Pelindung mulut: Semua Perkara yang Perlu Anda Tahu

Senyuman yang sihat adalah penting bagi anda. Itulah sebabnya anda sedang membaca artikel ini, betul? Anda telah mengambil langkah penjagaan mulut yang diperlukan seperti memberus gigi dan memflos setiap hari serta menjalani pemeriksaan gigi anda pada selang enam bulan. Tetapi anda mungkin ada beberapa pertanyaan tentang sama ada pelindung mulut boleh mencantikkan lagi senyuman anda. Disebabkan oleh masalah tidur atau mengisar, atau kerana anda bermain sukan, doktor gigi anda mungkin mengesyorkan pelindung mulut untuk memastikan enamel gigi anda kuat. Marilah kita lihat jenis pelindung mulut yang ada di pasaran, cara penjagaana dan sama ada pelindung mulut sesuai untuk anda.

Adakah Anda Memerlukan Pelindung Mulut?

Pelindung mulut merupakan alat pencegahan yang bagus untuk pelbagai jenis keadaan yang mampu mencederakan gigi dan gusi anda. Walaupun enamel kita yang merupakan lapisan paling luar gigi kita lebih kuat daripada tulang, pelbagai kerosakan boleh berlaku. Pakar gigi anda mungkin mengesyorkan pelindung mulut jika anda mengalami masalah tidur atau mengisar gigi, bersukan atau mengalami masalah TMD.

Jenis Pelindung Mulut

Pelindung Mulut untuk Tabiat Mengisar Gigi

Ada sesiapa yang tidak pernah terjaga daripada tidur malam kerana rahang mereka berasa sedikit sakit? Apabila ini menjadi satu kebiasaan, mungkin sudah tiba masanya untuk bercakap dengan pakar gigi tentang penjaga malam. Pakar gigi anda mungkin menyedari enamel anda sudah menunjuk tanda kerosakan atau melihat serpihan dan rekahan pada tampalan gigi anda. Biasanya, ini ialah tanda-tanda awal anda mengisar atau mengetap gigi pada waktu malam.

Mengisar atau mengetap gigi, juga dikenali sebagai bruksisme, selalunya disebabkan oleh tekanan, gangguan tidur, gigitan yang tidak sejajar, refluks asid, atau beberapa kesan sampingan ubat. Merokok dan minum alkohol atau minuman berkafein juga meningkatkan kemungkinan mengisar gigi. Walaupun sukar untuk mendiagnosis sebab sebenar mengisar atau mengetap gigi pada waktu malam (siapa yang tidak mengalami tekanan?), menangani tabiat itu sejak awal adalah penting. Tabiat mengisar gigi jangka panjang yang tidak dirawat boleh merosakkan enamel anda hingga lapisan kedua gigi anda, iaitu bahan dentin yang lebih lembut.

Membaiki tampalan yang pecah dan membuat sebarang pelarasan gigitan yang diperlukan ialah langkah pertama untuk merawat tabiat mengisar atau mengetap gigi. Selepas itu, pelindung mulut yang disyorkan oleh doktor gigi (kadangkala dirujuk sebagai penjaga malam atau splin) boleh membantu apabila dipakai semasa anda tidur. Alat ini bertindak sebagai penghalang antara gigi anda, jadi enamel anda tidak haus semasa anda mengisar gigi. Tambahan pula, alat itu juga dapat membantu anda menghentikan tabiat mengisar gigi itu sendiri!

Pelindung Mulut untuk Masalah TMD

Jika anda pernah mengalami ketidakselesaan rahang yang berterusan semasa mengunyah atau menyedari kehilangan mobiliti semasa cuba membuka mulut, anda tidak bersendirian. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2021 mendapati bahawa 50.9% pesakit pergigian Malaysia mempunyai masalah gangguan sendi temporomandibular (TMD). Bunyi letusan atau bekertik diiringi oleh kesakitan atau sakit kepala ringan juga merupakan gejala yang dikaitkan dengan komplikasi TMJ. Walaupun tiada cara untuk mengetahui punca sebenar gangguan TMJ anda, ini biasanya berpunca daripada arthritis, genetik, atau kecederaan rahang.

Rawatan pertama adalah memakai pelindung mulut atau splin yang dibuat khas untuk waktu malam. Ini membolehkan otot rahang anda pulih semasa anda tidur dan melindungi gigi anda daripada haus. Disebabkan oleh kekompleksan TMJ, splin sentiasa dibuat khas oleh pakar gigi yang merawat masalah tersebut.

Pelindung Mulut untuk Sukan

Sama ada anda pemain bola sepak hujung minggu atau anak anda baru menyertai pasukan hoki, melindungi gigi keluarga anda daripada kecederaan harus menjadi keutamaan. Kebanyakan kecederaan sukan yang berkaitan dengan mulut melibatkan gigi patah atau pecah (selalunya gigi kacip tengah), akar gigi patah, dan luka pada bibir dan tisu di dalam mulut. Tetapi tahukah anda bahawa risiko kecederaan sukan berkurangan dengan ketara apabila memakai pelindung mulut yang sesuai? Satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Kraniomandibel dan Amalan Tidur (Journal of Craniomandibular & Sleep Practice) mendapati bahawa pelajar kolej yang memakai pelindung mulut semasa bersukan kurang berkemungkinan mengalami konkusi otak yang berkaitan dengan sukan.

Bahan penyerap lembut yang membentuk pelindung mulut membantu mengurangkan kesan hentaman pada gigi anda. Jika anda memakai pendakap gigi, anda amat terdedah kepada isu berkaitan sukan. Kecederaan tisu lembut akibat memakai pendakap gigi yang bersentuhan dengan tisu mulut anda ialah sebab yang kukuh untuk memakai pelindung mulut yang disesuaikan dengan pendakap gigi anda. Anda juga tidak mahu menghadapi risiko merosakkan pendakap gigi anda, yang memerlukan perhatian daripada pakar gigi anda.

Sentiasa semak dengan jurulatih atau pengadil liga untuk menentukan keperluan pelindung mulut mereka sebelum membuat janji temu pergigian anda. Pelindung mulut sukan lebih selalu diganti daripada jenis yang lain kerana mulut anak anda masih membesar dan kehausan semula jadi pelindung mulut sepanjang musim sukan. Jangan lupa bawa pelindung mulut anda semasa pemeriksaan gigi enam bulan anda. Anda akan lebih bersedia dengan mengambil langkah pencegahan ini dengan meminta profesional mengesahkan bahawa alat itu masih sesuai!

Pelindung Mulut untuk Gangguan Tidur

Mungkin kelihatan pelik bahawa menambahkan lebih banyak benda di dalam mulut anda boleh membantu dari segi gangguan tidur seperti apnea tidur obstruktif. Tetapi memasukkan peranti kemajuan mandibular ke dalam rutin malam anda boleh menjadi alat yang bermanfaat untuk menikmati tidur malam yang lebih nyenyak. Dengan memakai pelindung mulut ini pada rahang bawah, kedudukan lidah dan rahang diatur bagi memastikan saluran udara terbuka. Orang yang berdengkur dengan kuat atau mengalami bruksisme pada waktu malam juga mungkin mendapati peranti ini membantu mengurangkan gejala mereka.

Memilih Pelindung Mulut

Walau apa pun diagnosis yang anda terima untuk mulut anda, pelindung yang sesuai dan selesa, tahan lama dan tahan haus diharapkan dapat melegakan sebarang gejala yang menyakitkan. Terdapat tiga jenis pelindung mulut yang perlu dipertimbangkan:

  • Anda boleh mencari pelindung mulut stok yang murah secara dalam talian atau di kedai ubat. Saiz pelindung ini biasanya terhad kepada kecil, sederhana dan besar, jadi sukar untuk mendapatkan saiz yang sesuai. Anda juga mungkin mendapati bahawa pelindung itu tidak selesa dan besar atau malah yang muat dengan betul boleh menghalang pernafasan dan pertuturan anda.
  • Pelindung mulut rebus dan gigit boleh didapati dalam talian, di kedai ubat dan kedai barangan sukan. Untuk pelindung mulut jenis ini, penyesuaian terpulang kepada anda! Anda akan merebus bahan dalam air panas dan menggigit semasa suam untuk mendapatkan padanan tersuai. Penyesuaian diperibadikan ini lebih baik daripada pelindung mulut stok, tetapi pastikan anda mengikut arahan tersebut.
  • Jenis perlindungan gigi yang paling selesa dan berkesan ialah pelindung mulut yang dibuat khas oleh pakar gigi. Jenis ini mungkin mahal, tetapi doktor gigi atau insurans pergigian anda mungkin memberikan sedikit bantuan dengan menampung kos pembuatan.

Cara Doktor Gigi Anda Membuat Pelindung Mulut

Pelindung mulut yang dibuat khas biasanya melibatkan dua janji temu dengan pakar gigi anda. Mereka akan mengambil teraan gigi anda dan membuat model, menghantar ke makmal tempat pelindung mulut dibuat untuk disesuaikan. Selepas pelindung mulut anda kembali dari makmal, janji temu kedua anda adalah untuk mengesahkan kesesuaian alat tersebut. Akhir sekali, pakar gigi anda akan melicinkan mana-mana bahagian tepi yang kasar dan membuat sebarang pelarasan yang diperlukan untuk menghasilkan bentuk dan saiz yang sempurna, serta unik untuk anda!

Tidur Dengan Memakai Pelindung Mulut

Sekarang, anda mungkin bimbang akan gangguan tidur dengan plastik di dalam mulut anda. Siapa yang tidak risau, bukan? Seperti perkara baharu yang lain, ini mengajar erti kesabaran! Untuk membiasakan tabiat pemakaian pelindung mulut pada setiap malam, anda perlu memakai secara konsisten sekurang-kurangnya sebulan. Jika anda telah cuba memakai pelindung mulut anda, tetapi amat tidak selesa atau tidak muat dengan betul, jangan malu untuk memberitahu pakar gigi anda. Mereka boleh memeriksa masalah berkenaan, membetulkan dan seterusnya membantu anda untuk membiasakan pemakaian alat tersebut.

Penjagaan Pelindung Mulut Anda

Sama seperti anda membersihkan gigi anda setiap hari untuk membuang bakteria, tidak hairanlah anda perlu membersihkan dan mensanitasi pelindung mulut anda selepas memakai alat tersebut. Memberus pelindung anda dengan berus gigi dan ubat gigi selepas dipakai akan membantu. Basuh dengan sempurna, dan ambil masa sekali atau dua minggu untuk merendam dalam larutan antimikrob, seperti ubat kumur yang dicairkan atau pembersih gigi palsu. Pastikan pelindung mulut kering dan simpan dalam bekas berudara. Cari sebarang retakan atau tepi yang kasar supaya pelindung mulut tidak akan merengsakan gusi anda atau menyimpan bakteria.

Sebelum anda memutuskan sama ada pelindung mulut ialah jawapan kepada masalah gigi anda, pastikan anda berunding dengan pakar. Kita semua berharap memberus gigi dan membersihkan antara gigi setiap hari sudah mencukupi untuk menjaga kesihatan mulut kita. Tetapi isu yang tidak dijangka namun lazim seperti TMD, apnea tidur dan bruksisme sering berlaku. Memandangkan anda sudah begitu teliti dalam penjagaan kesihatan mulut anda, anda tahu bahawa pencegahan ialah kuncinya. Memberikan komitmen dan berusaha dengan sengaja untuk memakai pelindung mulut anda secara kerap akan menjadi penting bagi memastikan enamel anda kuat dan mencantikkan senyuman anda!

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.