Sindrom Bahang Mulut

Sindrom Bahang Mulut: Menghilangkan Rasa Bahang

 

oleh Donna Pleis

Apabila anda menghidap sindrom bahang mulut, anda akan berasa seolah-olah ada api yang menyala di dalam mulut anda. Bertahun-tahun yang lalu, saya sendiri bergelut dengan keadaan ini, jadi saya tahu betapa mengecewakan dan tidak selesa rasanya. Walaupun saya seorang pakar kebersihan pergigian, saya berasa bingung tentang apa yang menyebabkan masalah ini. Saya berasa seperti seorang pemakan api di sarkas. Saya tidak dapat membayangkan apa-apa yang saya telah lakukan yang menyebabkan penyakit ini. Disebabkan keinginan untuk mendapatkan mulut dan lidah yang normal, mencari pelega menjadi obsesi saya. Sekarang, saya akan berkongsi dengan anda maklumat yang sayang sekali tidak diketahui oleh saya pada ketika itu.

Apakah Tanda-tanda dan Simptomnya?

Seperti namanya, keadaan ini membuat anda rasa bahang atau pedih di seluruh atau bahagian-bahagian tertentu mulut anda, termasuk lidah, gusi, bahagian dalam pipi, lelangit. dan juga bahagian belakang tekak anda. Menurut Institut Penyelidikan Pergigian dan Kraniofasial Kebangsaan (NIDCR), simptom keadaan ini termasuklah rasa sesemut atau rasa kebas di hujung lidah, mulut kering dan luka, serta rasa pahit atau berlogam di dalam mulut anda.

Rasa bahang atau pedih yang saya alami kebanyakannya pada lidah saya tetapi saya juga mendapatinya di bahagian lain mulut saya. Air soda berkarbonat membuatkan lidah saya terasa mencucuk. Makanan pedas pula menyebabkan kesakitan yang teramat sangat — terutamanya makanan bercili di Santa Fe. Saya langsung tidak menduganya. Malah, ubat gigi dan ubat kumur juga merengsakan mulut saya.

Apakah Penyebabnya?

Tiada jawapan yang mudah bagi masalah ini. Menurut Persatuan Pergigian Amerika, terdapat pelbagai kemungkinan penyebab sindrom bahang mulut. Sindrom ini dialami oleh lelaki dan wanita, namun ia lebih kerap berlaku pada wanita semasa atau selepas menopaus. Keadaan lain yang berkaitan dengan sindrom bahang mulut ialah diabetes, kekurangan nutrisi, jangkitan kulat mulut, lidah menonjol, rawatan kanser dan refluks asid. Antara kemungkinan penyebab yang lain ialah kerosakan saraf yang berfungsi untuk lidah dan mulut, gigi palsu yang longgar atau tidak sepadan, alahan kepada bahan gigi palsu dan keadaan tiroid yang tidak normal.

Saya mengaitkan bahang mulut yang saya alami dengan menopaus. Selepas kira-kira setahun, ujian darah rutin saya menunjukkan paras tiroid yang rendah. Setelah mengambil ubat tiroid untuk tempoh tertentu, rasa bahang itu hilang secara tidak disangka, sama seperti cara ia muncul. Keadaan saya mungkin disebabkan oleh tiroid tetapi ia boleh juga disebabkan oleh menopaus.

Apakah Rawatannya?

Langkah pertama rawatan ialah mendiagnosis penyebab simptomnya. Mulakan dengan berjumpa doktor gigi anda. Doktor gigi boleh menentukan sama ada masalah itu merupakan masalah berkaitan mulut, seperti jangkitan kulat, kerengsaan akibat gigi yang tajam atau patah atau gigi palsu penuh atau sebahagian yang longgar atau tidak sepadan.

Jika doktor gigi anda tidak dapat menemukan sebarang sebab yang jelas bagi simptom tersebut, beliau mungkin mencadangkan anda mencuba beberapa langkah mudah untuk mendapatkan kelegaan. Bertukar kepada ubat kumur tanpa alkohol atau menukar jenama ubat gigi mungkin dapat membantu. Anda juga boleh cuba berhenti mengambil gula-gula getah, tembakau, minuman ringan dan kopi selama 2 minggu. Apabila mengambil ubat-ubatan, anda perlu menyemak jika ada antaranya yang boleh menyebabkan kesan sampingan seperti rasa pedih atau bahang dalam mulut anda.

Jika tiada apa-apa yang dapat membantu sindrom bahang mulut anda, langkah seterusnya ialah berjumpa doktor. Doktor mungkin akan mengaturkan ujian darah untuk mengenal pasti gangguan lain atau kekurangan zat yang mungkin menjadi penyebab tersirat bagi masalah ini.

Hidup setiap hari dengan rasa seolah-olah mulut anda terbakar boleh menyebabkan keresahan. Sesetengah individu akan berasa tertekan. Inilah sebabnya saya menggesa anda agar tidak berlengah dan segera mencari penyelesaian atau mendapatkan kelegaan. Jumpa doktor gigi atau doktor anda dengan segera.