Petua bagi Menggunakan Ubat Kumur Mulut
Walau sudah mahir dalam memberus dan memflos, anda mungkin mempunyai beberapa soalan tentang penggunaan kumuran dengan betul. Anda mungkin tertanya-tanya sama ada ubat kumur mulut harus digunakan sebelum atau selepas memberus. Persatuan Pergigian Amerika menjelaskan yang pengilang mungkin mengesyorkan turutan tertentu untuk memaksimumkan keberkesanan produk, jadi anda harus menyemak label kumuran pilihan anda. Sekiranya pengilang tidak memberikan pengesyoran, anda boleh berkumur sama ada sebelum atau selepas anda memberus, bergantung pada kesukaan anda.
Kekerapan penggunaan ubat kumur mulut yang ideal juga merupakan satu lagi soalan yang anda mungkin ada. Fakulti Perubatan Pergigian Tufts menjelaskan bahawa ini bergantung pada sebab anda menggunakan ubat kumur mulut tersebut. Bagi mereka yang hanya mahu memastikan gigi mereka bersih, Tufts mengesyorkan berkumur dengan ubat kumur dua kali sehari. Bagi mereka yang mahukan faedah fluorida, sekali sehari sudah mencukupi.
Walaupun ia boleh menjadi tambahan yang baik kepada rutin kebersihan mulut, ubat kumur mulut bukanlah penggantian bagi memberus dan memflos dengan betul. Pastikan anda memberus gigi dua kali sehari dan memflos sekali sehari, walaupun apabila anda menggunakan ubat kumur.
Memilih produk yang betul tidak seharusnya menyusahkan. Semasa di kedai, pastikan keutamaan kesihatan mulut anda dan pilih produk yang memenuhi keperluan khusus tersebut. Jika anda masih tidak pasti ubat kumur mulut apa yang sesuai, jumpa doktor gigi atau ahli kebersihan gigi anda untuk mendapatkan nasihat.