Kita semua pernah mengalaminya: Setelah anda makan roti bawang putih atau apabila mulut anda kering, anda mendapati nafas anda tidak segar seperti yang sepatutnya. Namun terdapat perbezaan besar antara nafas berbau sekali-sekala yang dialami oleh semua orang dengan nafas berbau yang kronik. Membawa ubat cecair pencuci mulut di dalam beg tangan dan kotak bekal tidak dapat menyelesaikan dengan mudah masalah nafas berbau yang kronik, yang juga dikenali sebagai halitosis. Jadi, apa itu halitosis dan bagaimana anda dan keluarga dapat menanganinya? Berikut ialah beberapa petua.
Apakah Penyebab Halitosis?
Halitosis berpunca daripada pelbagai sebab, sesetengah daripadanya agak serius. Berikut ialah beberapa penyebab yang paling lazim:
Cebisan Makanan. Makanan seperti bawang putih, bawang dan bahan masakan yang berbau kuat boleh meninggalkan cebisan di dalam mulut dan lidah anda, yang menimbulkan bau mulut yang tidak menyenangkan selepas makan. Mujurlah ia mudah dirawat dan bukan penyebab kronik halitosis.
Mulut kering. Ubat-ubatan, merokok dan bernafas melalui mulut boleh menyebabkan mulut kering. Kekurangan air liur bermakna bakteria tidak dapat dikeluarkan daripada mulut seperti yang sepatutnya dan ia menyebabkan nafas berbau. Jika mulut kering sekali sekala, tidak mengapa. Namun, nafas anda yang berbau boleh menjadi kronik, akibat daripada merokok setiap hari.
Masalah pergigian. Menurut Mayo Clinic, halitosis sering terjadi akibat penyakit gusi dan pereputan gigi. Masalah pergigian boleh menggalakkan bakteria bersembunyi di dalam kaviti atau pada poket di sekeliling gusi yang disebabkan oleh keadaan seperti gingivitis dan penyakit periodontium. Kaedah menyegarkan nafas untuk jangka pendek mungkin boleh menyembunyikan masalah tersebut, tetapi bau tersebut akan kekal apabila punca masalah tidak ditangani.
Masalah perubatan. Sesetengah virus dan penyakit, terutamanya yang melibatkan sinus, laluan hidung dan tekak, boleh menyebabkan halitosis. Kanak-kanak yang mempunyai nafas berbau mungkin menghidap selsema atau jangkitan sinus. American Dental Association menjelaskan bahawa nafas berbau juga mungkin menjadi tanda sesetengah penyakit hati dan buah pinggang.