punca bintik gigi coklate - colgate malaysia

Penyebab Bintik Perang Pada Gigi

Tiada apa-apa seperti senyuman yang berkilau dan menawan begitu indah. Tetapi kadangkala bintik perang pada gigi kita boleh menjadi punca kebimbangan. Mujurnya ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk memulihkan masalah tersebut. Daripada penumpukan karang gigi kepada keadaan perubatan, kita akan melihat sebab di sebalik perubahan warna serta perkara yang anda dan doktor pergigian anda boleh lakukan untuk mengembalikan senyuman anda kepada warna yang bersinar dan cerah.

Punca Biasa Bintik Perang Pada Gigi

Pereputan

Kadangkala, bintik perang boleh menjadi satu tanda pereputan gigi, yang timbul akibat pengambilan makanan bergula dan berkanji secara berlebihan, termasuk minuman manis. Makanan dan minuman ini menghasilkan plak yang melekat pada permukaan gigi dan merosakkan gigi dari masa ke masa. Jika anda tidak memberus gigi dua kali sehari dan membersihkan celah gigi setiap hari, plak akan kekal pada gigi anda lalu merosakkan enamel dan bertukar kepada warna perang. Bintik perang ini mungkin juga datang daripada dentin di bahagian bawah, yang mempunyai warna gelap secara semula jadi apabila terdedah akibat enamel yang haus.

Karang Gigi

Istilah yang kerap didengari : karang gigi. Tetapi apakah itu karang gigi ? Apabila plak menumpuk pada gigi, plak mengeras menjadi bahan yang dipanggil karang gigi, selalunya berwarna kuning atau perang. Karang gigi sering muncul di sepanjang garis gusi dan di antara celah gigi anda, dan memberus gigi dengan menggunakan ubat gigi biasa tidak dapat menghilangkannya. Oleh itu, memberus gigi dua kali sehari untuk membuang plak terlebih dahulu memainkan peranan yang penting untuk mengelakkan bintik perang.

Fluorosis

Kita tahu bahawa fluorida sepatutnya membantu melindungi gigi kita daripada pereputan, tetapi adakah anda tahu bahawa fluorida yang terlalu banyak dalam badan mengubah warna enamel gigi terutamanya pada kanak-kanak ? Apabila anda mengalami pengambilan fluorida yang berlebihan, anda mungkin mengalami fluorosis. Garisan atau coretan putih kekal selalunya menandakan fluorosis ringan, manakala tompok dan lubang berwarna perang, kelabu atau hitam, biasanya di atas permukaan gigi yang tidak teratur, menunjukkan fluorosis yang lebih teruk. Walaupun gigi mungkin kelihatan rosak, sebenarnya fluorosis hanya adalah satu keadaan kosmetik. Gigi anda sihat sempurna, melainkan ada keadaan lain yang menyebabkan pereputan.

Penyakit Seliak

Menurut CeriaSihat, enamel gigi bagi mereka yang mempunyai penyakit seliak sering kurang berkembang. Tompok atau jalur putih, kuning dan perang mungkin muncul dan enamel mungkin kelihatan lut cahaya. Disebabkan oleh kesan yang kekal, penghidap sering memilih pemulihan untuk menutup keadaan tersebut.

Keadaan Lain

Demam panas dan trauma pergigian boleh menyebabkan kesan perang pada gigi. Keadaan perkembangan tulang dan tengkorak mempunyai kesan yang sama, walaupun jarang berlaku. Penuaan juga boleh menghauskan enamel pada gigi anda dan mendedahkan dentin berwarna lebih gelap di bahagian bawah. Selain itu, tabiat gaya hidup seperti mengambil alkohol dan tembakau mungkin tidak menyebabkan bintik yang jelas, namun tabiat itu boleh menimbulkan noda perang dan perubahan warna gigi.Selanjutnya, penggunaan antibiotik dalam keluarga tetrasiklin boleh mengakibatkan noda pada gigi. Sebab itulah antibiotik itu tidak digunakan oleh wanita hamil atau pada kanak-kanak yang gigi kekalnya masih berkembang. Sesetengah ubat kumur seperti ubat kumur antiseptik preskripsi, klorheksidina glukonat juga mungkin menyebabkan noda.

Pencegahan dan Rawatan

Jika gigi anda mempunyai bintik perang, dapatkan pemeriksaan daripada doktor gigi anda. Lebih awal anda mencari punca, lebih baik hasilnya untuk kesihatan mulut anda. Untuk penjagaan di rumah, langkah terbaik anda adalah menjalankan tabiat kesihatan mulut harian anda. Untuk mengekalkan senyuman yang paling sihat, pastikan anda memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi fluorida dan berus gigi bulu lembut. Bersihkan juga celah gigi anda setiap hari dengan flos, flos air atau peranti pembersih antara gigi yang lain. Kesemua langkah ini menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk gigi yang sihat. Ia juga berbaloi untuk meneroka teknik pemutihan lain jika doktor gigi anda berpendapat ia akan memberi manfaat kepada warna gigi anda.

Pasti mengecewakan jika anda mendapati terdapat noda atau bintik perang pada gigi anda, dan ini mungkin menyebabkan anda berasa rendah diri. Mujurnya terdapat cara dan penyelesaian kosmetik untuk melawan noda yang menjengkelkan tersebut. Semua orang layak memiliki senyuman yang putih berkilau, dan tiada sebab untuk berasa sebaliknya. Lebih cepat anda berunding dengan doktor gigi anda, lebih cepat anda dapat mengukirkan senyuman yang cerah, putih dan bersinar.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.