cara mengubati gigi bernanah - colagte malaysia

Cara Mendapatkan Kelegaan untuk Gigi Bernanah

Jika anda mengalami sakit gigi akibat jangkitan atau nanah, anda mungkin terfikir: Adakah terdapat sebarang penawar untuk gigi bernanah yang berkesan di rumah? Adakah penawar untuk jangkitan gigi di rumah selamat? Jawapan ringkasnya ialah masalah ini anda tidak boleh selesaikan sendiri, tetapi anda boleh mengambil langkah untuk mengurangkan ketidakselesaan sementara anda menunggu untuk mendapatkan rawatan daripada pakar. Teruskan membaca di bawah bagi mendapatkan beberapa maklumat penting mengenai keadaan ini.

Apakah Gigi Bernanah?

Jika anda mengalami kesakitan atau ketidakselesaan yang menggusarkan di dalam mulut anda, masalah tersebut mungkin disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai gigi bernanah. Nanah adalah suatu poket yang dikorek oleh bakteria yang boleh berlaku dalam gigi (nanah periapekal) atau gusi (nanah periodontal) anda.

Nanah anda mungkin disebabkan oleh:

  • Amalan penjagaan mulut yang tidak betul
  • Kecederaan trauma pada muka atau mulut anda
  • Rawatan pergigian yang bermasalah atau rosak

Gejala gigi bernanah termasuklah:

  • Sakit berterusan yang berpunca daripada mulut, rahang, leher atau telinga anda
  • Bengkak di sekitar kawasan terjejas
  • Sensitif terhadap sentuhan, tekanan atau suhu
  • Rasa tidak menyenangkan di dalam mulut anda disebabkan oleh nanah yang mengering
  • Demam

Bilakah Saya Perlu Bertemu Doktor Gigi?

Jika anda memikirkan cara untuk menghilangkan gigi bernanah tanpa perlu berjumpa doktor gigi, jawapannya tiada. Masalah kesihatan gigi anda telah mencapai tahap di mana anda perlu mendapatkan campur tangan dan rawatan profesional. Jika tidak, masalah tersebut akan bertambah buruk. Nasib baik, ini adalah peluang yang baik untuk anda berjumpa doktor gigi kerana mereka telah dilatih khas untuk membantu anda menghadapi masalah ini dan sebarang isu yang menyebabkan gigi bernanah.

Kami mengesyorkan anda untuk mendapatkan janji temu dengan doktor gigi anda segera. Sementara itu, kami mempunyai beberapa petua berguna untuk mendapatkan kelegaan di rumah sementara menunggu janji temu anda.

Petua berguna: Hello Doktor mengesyorkan anda ke wad kecemasan jika anda mengalami bengkak, demam atau mengalami masalah bernafas dan menelan.

Mendapatkan Kelegaan

Adalah penting untuk anda ingat bahawa ubat-ubatan untuk gigi bernanah di rumah tidak akan dapat merawat atau menangani punca gigi bernanah. Nanah anda tidak akan sembuh tanpa rawatan doktor gigi dan berkemungkinan akan bertambah teruk. Walau bagaimanapun, terdapat pilihan tersedia yang boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan atau keradangan anda buat sementara waktu dan masih boleh memberikan kelegaan yang luar biasa.

Beberapa pilihan ini mungkin boleh bantu memberikan kelegaan akibat ketidakselesaan gigi bernanah anda semasa menunggu rawatan doktor gigi:

Ubatan Tanpa Preskripsi

Pengambilan ubat boleh bantu mengurangkan kesakitan atau bengkak anda. Jika anda menggunakan cara ini, pastikan anda ambil ubat-ubatan ini seperti yang telah diarahkan pada pembungkusan. Cara ini mungkin berkesan dalam membantu mengurangkan ketidakselesaan tetapi jangan biarkan kelegaan itu menghalang anda daripada mendapatkan janji temu dengan pakar gigi anda.

Kompres Sejuk

Anda boleh menggunakan pek ais yang dibeli di kedai atau buat sendiri di rumah dengan cara membekukan kain lap, menggunakan beg ais atau sayuran beku. Letakkan di kawasan terjejas di luar pipi anda sekali sejam selama 10 minit.

Ubat kumur antiseptik

Terdapat tiga jenis bilasan yang anda boleh cuba untuk mendapatkan kelegaan.

  1. Untuk bilasan air garam, masukkan beberapa sudu teh garam ke dalam air suam (tetapi bukan air panas) sehingga ia larut dan kacau.
  2. Cara lain adalah dengan mencampurkan 3% hidrogen peroksida dengan air dalam nisbah 1:1.
  3. Jika anda jenis yang tidak gemar menyediakan ubat di rumah, anda boleh beli ubat kumur antiseptik di farmasi, kedai runcit atau kedai mudah beli.

Sapu apa sahaja campuran yang anda pilih di sekitar mulut anda atau kumur dengannya selepas makan dan luahkannya ke dalam sinki. Ambil perhatian bahawa walaupun tabiat ini bagus untuk dimulakan, namun ia tidak akan dapat menyembuhkan nanah anda.

Petua berguna: Walaupun sesetengah masalah gigi (seperti gingivitis) boleh sembuh sendiri dengan bantuan penjagaan gigi yang betul, namun gigi bernanah tidak akan sembuh dengan sendirinya atau melalui sebarang kaedah yang anda cuba di rumah. Gigi bernanah memerlukan rawatan dan diagnosis daripada pakar gigi anda dan boleh membawa kepada jangkitan yang lebih serius jika tidak dirawat.

Rawatan dan Pencegahan Gigi Bernanah

Sila ambil perhatian bahawa walaupun nanah menyebabkan rasa tidak menyenangkan, tetapi gigi bernanah sebenarnya perkara biasa yang dihadapi oleh klinik gigi. Pakar gigi anda telah dilatih dan dilengkapkan khas untuk mendiagnosis punca nanah anda, memberikan rawatan yang sesuai dan menawarkan petua untuk mengelakkannya daripada berulang pada masa hadapan.

Rawatan gigi bernanah termasuklah:

  • Antibiotik yang dipreskripsikan (pastikan anda mengambilnya seperti yang diarahkan dan hanya atas saranan pakar gigi atau perubatan anda)
  • Pembuangan tisu yang dijangkiti oleh pakar gigi, pengeringan nanah dan pembersihan kawasan yang terjejas
  • Rawatan saluran akar jika jangkitan telah menyusup ke dalam kawasan dalam gigi anda yang lembut

Untuk mencegah nanah pada masa hadapan serta mengelakkan keadaan yang lebih buruk dan membawa kepada jangkitan, adalah lebih baik jika anda menggunakan masa ini untuk memastikan anda mengamalkan rutin pergigian yang sihat.

Langkah untuk mengekalkan kesihatan mulut anda adalah seperti:

  • Berus gigi anda dengan lembut menggunakan berus gigi bulu lembut selama dua minit, dua kali sehari
  • Bersihkan celah gigi anda sehari sekali menggunakan flos, peranti pemflos atau berus antara gigi
  • Amalkan diet seimbang yang mengehadkan makanan dan minuman yang terlalu manis dan berasid
  • Elakkan merokok dan produk tembakau
  • Jumpa doktor gigi dengan kerap

Menguruskan nanah memang sukar, tetapi anda boleh menganggap ini sebagai satu cabaran untuk memperbaiki rutin gigi anda dan mengelakkan masalah selanjutnya pada masa hadapan. Anda telah membuat pilihan yang bijak untuk mendidik diri anda tentang gigi bernanah, sebab anda memerlukan rawatan gigi dan perkara yang anda boleh lakukan untuk mendapatkan kelegaan sementara menunggu rawatan.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.