berus lidan dan berus gigi - colgate malaysia

Berus Lidah Vs. Berus Gigi: Yang Mana Lebih Baik?

Adakah anda tertanya-tanya tentang cara terbaik untuk menjaga lidah anda? Dengan bertanya sahaja sudah menunjukkan anda berada di landasan yang betul. Membersihkan lidah anda adalah bahagian penting dalam penjagaan mulut anda. Dan menggunakan berus gigi untuk memberus lidah bukanlah satu-satunya pilihan untuk menjaga lidah anda. Pemberus lidah atau pengikis lidah memberikan pembersihan yang lebih menyeluruh daripada kebanyakan pemberus gigi apabila ia berkaitan dengan lidah. Semasa anda membaca, kami akan menerangkan tentang pembersihan lidah secara umum dan perbezaannya dengan memberus gigi. Kemudian kita akan menyentuh tentang manfaat pemberus lidah dan pengikis lidah.

Pembersihan Lidah

Langkah membersihkan lidah anda membantu menghapuskan bakteria mulut yang terkumpul pada permukaan lidah, terutamanya di bahagian belakang. Bakteria tertentu di bahagian belakang lidah berinteraksi dengan asid amino daripada makanan dan menghasilkan sebatian sulfur berbau yang memberi anda nafas berbau. Walaupun pembersihan lidah mengurangkan bau, namun pembersihan yang digabungkan dengan berkumur lebih berkesan.

Lidah vs. Enamel

Disebabkan oleh perbezaan antara permukaan lidah dengan enamel gigi, pemberus gigi mungkin tidak dapat membersihkan lidah sepenuhnya seperti yang anda mahukan. Permukaan lidah mungkin terasa lembut pada gigi anda, tetapi lidah agak kasar dan ditutup dengan celah-celahan kecil, menjadikannya mudah untuk bakteria bersembunyi. Tugas utama untuk pemberus gigi bukanlah membersihkan ruang kecil ini. Pemberus gigi digunakan untuk membersihkan permukaan enamel gigi yang keras dan licin dan mencapai alur gigi yang lebih besar.

Pemberus Lidah vs. Pengikis Lidah

Berus lidah dan pengikis lidah menembusi rekahan kecil pada lidah dan membersihkan mendapan berbahaya. Pemberus lidah kelihatan seperti pemberus gigi tetapi mempunyai permukaan luas yang memberus permukaan lidah. Pengikis lidah pula berupa plastik atau logam serta melengkung agar sesuai dengan bentuk semula jadi lidah anda. Pembersih lidah mampu mengurangkan jumlah bakteria pada lidah secara umum. Malah pengikis lidah plastik adalah alat yang paling berkesan dalam menyingkirkan bakteria tersebut. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk menentukan alat yang terbaik dalam membersihkan lidah.

Jika anda ingin cuba membersihkan lidah anda menggunakan pemberus atau pengikis lidah, pastikan anda bilas alatan tersebut dengan air bersih sebelum dan selepas penggunaan. Untuk membersihkan lidah anda, sapukan sedikit ubat gigi pada pemberus lidah anda. Mulakan dari bahagian belakang lidah menuju ke hadapan, dan menggunakan pergerakan bulat yang lembut dengan pemberus lidah atau seret pengikis lidah anda dengan lancar. Setelah anda telah membersihkan permukaan lidah, bilas lidah anda. Pastikan untuk mengelak daripada menekan terlalu kuat dengan pemberus atau pengikis lidah. Anda tidak mahu lidah anda menjadi berdarah atau berasa pedih. Itu bukanlah matlamatnya.

Sekarang anda sudah tahu cara membersihkan lidah anda. Ya, anda boleh berus lidah anda menggunakan berus gigi. Namun pemberus atau pengikis lidah dapat membantu anda memperhalus amalan ini dan memastikan lidah anda sebersih yang mungkin. Harus ingat, bersihkan lidah anda dengan lembut. Jika anda ingin mula membersihkan lidah anda, cuba berus atau pengikis lidah hari ini. Atau dapatkan cadangan daripada doktor gigi anda.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.