Cara Meluruskan Gigi

Cara Meluruskan Gigi: Tiga Kaedah yang Terbukti

oleh AM Hopkins

Senyuman yang cantik bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah juga dapat mempengaruhi keseluruhan kualiti hidup seseorang. Malangnya, bukan semua orang dilahirkan dengan senyuman yang sempurna tetapi itu tidak bermakna bahawa ia tidak dapat dimiliki. Semua orang tahu cara paling asas untuk meluruskan gigi: pendakap gigi logam Namun, kini terdapat lebih banyak pilihan apabila mempertimbangkan alat pergigian kosmetik.

Invisalign

Invisalign ialah salah satu kaedah meluruskan gigi yang terkini dan paling popular yang terdapat di pasaran. Satu set pelurus gigi (aligner) yang direka khas dihasilkan khusus untuk pesakit. Lama-kelamaan, dulang pelurus akan menggerakkan gigi pesakit secara perlahan-lahan ke arah yang ditentukan oleh doktor gigi atau pakar ortodontik. Walaupun ia bertujuan untuk memberikan manfaat yang sama seperti pendakap gigi tradisional, terdapat perbezaan yang ketara pada rupa dan rasa Invisalign. Dulang pelurus diperbuat daripada plastik jernih yang muat dengan selesa pada gigi anda. Kira-kira dua kali sebulan, pesakit menggantikan dulang pelurus mereka yang lama dengan dulang yang baru. Langkah ini diulang sehingga gigi menjadi lurus. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah ini di bahagian sumber Colgate® Oral Care.

Pengkonturan kosmetik

Jika gigi anda berbentuk kurang sempurna namun tidak semestinya tidak tersusun, pengkonturan kosmetik atau pembentukan semula mungkin merupakan pilihan terbaik untuk anda. Prosedur ini biasanya selesai dalam satu sesi lawatan dan mengambil masa kurang daripada 30 minit. Semasa prosedur ini dijalankan, doktor gigi akan mengubah bentuk dan panjang gigi yang berkenaan. Dalam sesetengah keadaan, kedudukan gigi yang dirawat juga diubah untuk memberikan penampilan yang lebih menarik. Dengan menggunakan laser atau gerudi pasir, doktor gigi dapat mengikir gigi dengan teliti untuk menyingkirkan enamel. Apabila enamel disingkirkan, bentuk gigi yang dirawat berubah. Setelah mendapat bentuk yang diingini, gigi akan dihaluskan dan digilap.

Pendakap gigi logam

Selain dari itu terdapat juga pendakap gigi logam. Pendakap gigi merupakan jawapan paling popular yang diterima apabila soalan diajukan tentang cara meluruskan gigi. Ia biasanya terdiri daripada empat bahagian: pendakap, bahan pengikat, dawai arkus dan ligatur elastik. Unit-unit ini berfungsi bersama untuk memberikan tekanan pada gigi dalam arah tertentu. Lama-kelamaan, gigi akan beralih ke kedudukan yang sepatutnya. Tidak seperti Invisalign, pendakap gigi logam mempunyai pendakap dan dawai logam yang jelas kelihatan pada gigi. Ia merupakan pilihan yang kurang menarik dari segi kosmetik tetapi selalunya dikatakan lebih murah berbanding dengan kaedah meluruskan gigi yang lain. Pesakit boleh menjangka untuk memakai pendakap gigi rata-rata selama dua tahun, namun tempoh ini berbeza bergantung pada cadangan doktor gigi.

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.