Adakah anak anda mengadu sakit tekak atau hidung tersumbat kebelakangan ini? Mungkin ia disebabkan oleh jangkitan sinus. Lelehan daripada sinus menyebabkan cecair terkumpul di dalam laluan hidung dan tekak, menjadikan tekak anak anda tempat paling sesuai untuk bakteria berkumpul. Akibatnya? Nafas berbau yang tidak dapat dihilangkan dengan hanya memberus gigi dan menggunakan ubat cuci mulut. Jika anda mengesyaki jangkitan sinus (kemungkinan sakit tekak, laluan hidung terasa pedih dan titis postnasal (lelehan belakang hidung), hubungi doktor anda untuk janji temu dan lihat jika antibiotik perlu dipreskripsikan.
Mungkin anda tidak terfikir pada mulanya, tetapi nafas anak anda mungkin berbau disebabkan sesuatu yang tersekat di laluan hidungnya. Kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu dan lubang hidung mereka sangat sesuai untuk dimasukkan benda kecil seperti manik, kacang, aksesori mainan dan makanan. Dr. William Sears, seorang pakar pediatrik, menerangkan bahawa apabila sesuatu objek tersekat di dalam laluan hidung kanak-kanak, ia boleh mengeluarkan bau yang busuk. Jika anda mengesyaki inilah yang menyebabkan nafas anak anda berbau, anda perlu membawanya berjumpa doktor untuk memeriksa laluan hidung dan mengeluarkan objek tersebut.
Ambil lampu suluh dan suluh ke dalam mulut anak anda: Bagaimana rupa tonsilnya? Tonsil yang sihat seharusnya berwarna merah jambu dan tidak mempunyai bintik, tetapi tonsil yang tidak sihat berwarna merah, meradang dan mungkin mempunyai bintik-bintik putih dan berbau busuk. Bakteria boleh terkumpul di dalam lubang tonsil yang bengkak, dan dengan bau jangkitan yang berbau masam, ia boleh menyebabkan nafas berbau. Jika tonsil anak anda kelihatan bengkak atau merah, dia perlu diperiksa oleh pakar pediatrik yang boleh mempreskripsikan antibiotik untuk membantu menangani masalah tersebut.
Kanak-kanak sangat aktif dan suka berlari ke sana sini sehinggakan mereka lupa untuk sentiasa minum air secukupnya. Nafas berbau yang dialami oleh kanak-kanak yang bersukan sering disebabkan oleh kekurangan cecair. Jika kanak-kanak tidak mendapat air yang mencukupi, mulut mereka kurang menghasilkan air liur untuk menyingkirkan bakteria yang menyebabkan bau mulut. Mungkin ia tidak kelihatan seperti masalah besar tetapi kekurangan air liur juga boleh menyebabkan pereputan gigi dan kaviti; jadi memang berbaloi untuk memastikan kanak-kanak minum air secukupnya.
Pemberusan gigi dan tabiat kebersihan mulut yang terbaik masih tidak memadai untuk menghilangkan bau mulut yang disebabkan oleh pereputan gigi dan jangkitan mulut yang lain. Tidak kira sama ada kaviti, penyakit gusi atau kudis mulut, jangkitan mulut boleh mengeluarkan bau yang busuk. Ubat gigi khusus untuk kanak-kanak akan membantu mencegah masalah ini daripada merebak, namun memberus gigi tidak dapat menyembuhkan kaviti. Jika gigi anak anda mengalami pereputan, sudah tiba masanya untuk mereka berjumpa doktor gigi.
Jangan buat kesilapan dengan menganggap nafas berbau disebabkan oleh rutin harian yang tidak dilakukan oleh anak anda sebelum mereka tidur. Walaupun gigi sentiasa diberus, nafas berbau jenis lain boleh menjadikan sesi bercerita sebelum tidur tidak menyenangkan. Siasat puncanya dan kenal pasti penyebab masalah tersebut dan ambil tindakan yang bersesuaian.
Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.