4 Ubat Sakit Gigi Buatan Sendiri

4 Ubat Sakit Gigi Buatan Sendiri

Jika sakit gigi menyerang dan anda tidak dapat berjumpa doktor gigi – seperti pada waktu tengah malam – anda mungkin terdesak untuk meringankan kesakitan. Untuk kelegaan sementara, anda boleh cuba ubat sakit gigi buatan sendiri ini

1. Kompres Sejuk

Jika anda mengalami sakit gigi yang diiringi oleh bengkak, tuam dengan kompres sejuk pada bahagian luar pipi anda (biarkan selama 20 minit, kemudian angkat selama 20 minit dan ulang) untuk memberikan sedikit kelegaan. Rasa sejuk melalikan bahagian tersebut serta melegakan sakit gigi; ia juga membantu menyurutkan bengkak dan keradangan, seperti yang dijelaskan oleh Johns Hopkins Medicine.

Kompres sejuk boleh memberikan kelegaan sementara dan membantu anda tidur tetapi ia tidak menangani punca sakit gigi. Jika anda mempunyai kaviti dan masalah pergigian yang lain, ia tidak akan sembuh selagi anda tidak berjumpa doktor gigi.

2. Minyak Bunga Cengkih

Minyak bunga cengkih boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak akibat sakit gigi secara sementara. Untuk ubat sakit gigi buatan sendiri ini, celup bebola kapas di dalam minyak cengkih. Sapukan bebola kapas tersebut secara perlahan-lahan pada bahagian gigi dan gusi yang sakit.

Minyak cengkih mengandungi eugenol iaitu anestetik semula jadi yang menjadikan minyak ini mujarab. Namun, minyak cengkih hanya membantu melegakan sakit gigi; ia tidak akan merawat punca masalah. Rasa minyak cengkih juga tidak sedap, jadi ubat ini mungkin tidak menyenangkan untuk dicuba.

3. Berkumur Dengan Air Garam

Jika gigi anda sakit dan gusi anda membengkak, berkumur dengan air garam suam boleh melegakan kesakitan ini. Campurkan dua sudu teh garam dengan satu cawan air suam. Gunakan larutan ini untuk berkumur-kumur dan kemudian ludahkan.

Air panas dan sejuk akan menyebabkan rasa ketidakselesaan semasa anda mengalami sakit gigi. Air suam membantu melegakan sakit manakala garam pula membantu mengurangkan bengkak pada tisu gusi anda. Sekali lagi diingatkan, semua kesan ini hanyalah untuk sementara.

4. Ubat-ubatan Untuk Sakit Gigi

Untuk mengatasi rasa sakit gigi, anda boleh mengambil ubat tanpa preskripsi mengikut arahan pada bungkusan ubat. Jangan sesekali meletakkan ubat tersebut pada gigi anda yang sakit kerana tisu gusi yang berhampiran dengan gigi tersebut boleh melecur dan akan menambahkan kesakitan.

Ubat tahan sakit boleh memberi kelegaan sementara anda menunggu janji temu dengan doktor gigi anda. Namun, seperti ubat buatan sendiri yang lain, ia bukanlah penyelesaian untuk jangka panjang. Jika anda mengubati sendiri kesakitan tanpa mendapatkan rawatan, sakit gigi anda mungkin bertambah teruk.

Masa Untuk Berjumpa Doktor Gigi

American Dental Association mengesyorkan supaya dapatkan pemeriksaan doktor gigi dengan segera untuk gigi anda yang sakit. Oleh itu, jangan berlengah membuat janji temu. Doktor gigi biasanya menyediakan slot waktu untuk pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, jadi anda mungkin boleh mendapatkan janji temu pada hari yang sama. Jika anda mengalami sebarang simptom abses gigi – seperti demam, muka bengkak atau sakit gigi yang berpanjangan – dan anda tidak dapat berjumpa doktor gigi, dapatkan rawatan di bahagian kecemasan hospital.

Toothache Prevention

Walaupun sesetengah keadaan pergigian boleh menyebabkan sakit gigi, penyebab utama sakit gigi ialah kaviti. Mujurlah banyak perkara yang boleh dilakukan di rumah untuk melindungi gigi anda daripada kaviti. Berus gigi anda dua kali sehari dengan berus gigi yang lembut. Jangan lupa untuk menggunakan flos. Anda juga perlu berjumpa doktor gigi secara berkala untuk pemeriksaan gigi. Jika kaviti terbentuk, ia boleh dikesan dan dirawat sebelum gigi anda sakit.

Ubat sakit gigi buatan sendiri boleh memberi kelegaan sementara anda menunggu temu janji dengan doktor gigi anda tetapi ia tidak menyelesaikan punca masalah. 

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.