Jika anda pernah mengalami sakit saraf gigi, anda pasti tahu betapa peritnya kesakitan yang dialami. Ini kerana apabila saraf gigi terdedah, kepekaan, ketidakselesaan, dan kesakitan yang dirasai mungkin ketara bagi banyak orang dan tidak tertanggung bagi sesetengah orang. Ini boleh menghilangkan nafsu untuk menikmati makanan dan minuman tertentu dan akhirnya menjadi satu tanda masalah kesihatan mulut yang lebih teruk. Jika anda mengalami sebarang masalah ini dan tidak selesa ketika makan — berjumpa dengan doktor gigi anda supaya mereka dapat mengetahui penyebab dan rawatan untuk sakit saraf anda.
Bagaimana Sakit Saraf Gigi Berlaku
Untuk memahami bagaimana sakit saraf gigi anda berlaku, pertama sekali anda mesti mengetahui serba sedikit tentang gigi anda dan persekitarannya. Enamel melapisi gigi anda di atas garis gusi, sementara simentum melitupinya di bawah garis gusi. Kedua-duanya bertugas untuk melindungi dentin anda. Dentin ialah mineral lembut kekuningan yang penuh dengan tubul yang terhubung ke pulpa saraf dalaman anda. Apabila dentin terdedah, saraf mungkin dirangsang hingga menyebabkan kerengsaan dan kesakitan. Kesakitan ini boleh disebabkan oleh pengambilan:
- Makanan dan minuman panas dan sejuk
- Makanan dan minuman berasid dan bergula
Bagaimana Kepekaan Gigi Berlaku
Beberapa senario boleh menyebabkan kepekaan gigi. Menurut American Dental Association, antara penyebabnya ialah:
- Kereputan gigi (kaviti)
- Gigi pecah
- Tampalan haus
- Penyakit gusi
- Enamel gigi haus
- Akar gigi terdedah
Kepekaan gigi boleh tercetus dengan cara yang sama seperti sakit saraf gigi — apabila terdedah kepada makanan dan minuman tertentu. Walau bagaimanapun, sakit saraf ialah akibatnya sekiranya pendedahan lebih jauh ke dalam saraf gigi. Sebaliknya, kepekaan ialah akibat yang jauh dari saraf, iaitu di permukaan gigi.
Apakah Makanan Yang Harus Anda Elakkan
Anda boleh melegakan saraf gigi yang merengsa dengan mengelakkan makanan dan minuman yang menyebabkan kerengsaan, seperti yang dinyatakan di atas. Ini termasuklah:
- Minuman panas (kopi dan teh)
- Minuman sejuk (soda menyebabkan kepekaan dan menghakis enamel, menurut Pusat Perubatan Universiti Nebraska)
- Makanan panas (biarkan ia sejuk)
- Makanan sejuk (jangan makan ais krim atau barangan sejuk beku lain)
- Makanan (jeruk, tomato, buahan sitrus) dan minuman berasid
- Makanan (biskut, gula-gula, pastri) dan minuman bergula
Cara Merawat Sakit Saraf Gigi
Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk merawat sakit saraf anda dengan berkesan. Taktik yang paling penting — berjumpa dengan doktor gigi anda. Mereka boleh membuat pemeriksaan mulut dan menentukan tempat dan bagaimana kesakitan anda berlaku. Mereka juga akan mengesyorkan anda untuk:
- Memberus gigi anda dengan betul agar tidak menghakis enamel anda
- Gunakan berus bulu lembut
- Gunakan ubat gigi untuk gigi sensitif
Jangan gementar apabila makanan kegemaran anda diletakkan dalam pinggan anda. Sementara makanan dan minuman memberi kita khasiat, ia juga memberikan kenikmatan. Oleh itu, pastikan anda berjumpa dengan doktor gigi, pantau kebersihan mulut anda, serta elakkan makanan dan minuman yang menyebabkan sakit saraf. Jika anda mampu melakukannya — saraf anda akan menjadi sekuat besi.