Apa itu Kaviti

Apa itu Kaviti?

 

Apa itu Kaviti?

"Kaviti" ialah nama lain bagi pereputan gigi. Pereputan gigi amat dipengaruhi oleh gaya hidup, makanan, tahap penjagaan gigi serta kehadiran fluorida dalam air dan ubat gigi kita. Keturunan juga memainkan peranan yang menentukan setakat mana gigi anda mudah menjadi reput.

Walaupun kaviti pada umumnya lebih lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak, orang dewasa juga menghadapi risiko kaviti. Antara jenis kaviti:

  • Kaviti korona - jenis yang paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Kaviti korona biasanya terbentuk pada permukaan mengunyah atau di celah gigi
  • Kaviti akar—apabila kita semakin menua, gusi kita menyusut dan mendedahkan sebahagian daripada akar gigi. Oleh sebab tiada enamel yang menutupi akar gigi, kawasan yang terdedah ini mudah menjadi reput
  • Pereputan berulang—pereputan boleh terbentuk di sekeliling tampalan sedia ada dan korona kerana bahagian ini cenderung mengumpul plak yang akhirnya boleh mengakibatkan pereputan

Orang dewasa lebih berisiko mendapat kaviti jika mereka mengalami keadaan mulut kering iaitu keadaan yang disebabkan oleh kekurangan air liur. Mulut kering mungkin disebabkan oleh penyakit, ubat, terapi sinaran dan kemoterapi. Ia juga mungkin bersifat sementara (beberapa hari hingga beberapa bulan) atau kekal, bergantung pada sebab.

Kaviti tidak boleh diambil mudah. Jika dibiarkan tanpa dirawat, kaviti boleh memusnahkan gigi anda dan mematikan saraf halus di tengah-tengahnya, yang akan membentuk abses, satu kawasan jangkitan di hujung akar. Jika abses terbentuk, ia hanya boleh dirawat dengan rawatan akar kanal, pembedahan atau dengan mencabut gigi yang terjejas.

Bagaimanakah Saya Tahu jika Saya Ada Kaviti?

Hanya doktor gigi anda yang boleh mengenal pasti sama ada anda mempunyai kaviti kerana ia terbentuk di bawah permukaan gigi yang tidak dapat dilihat. Apabila anda makan makanan yang mengandungi karbohidrat (gula dan kanji), karbohidrat ini dimakan oleh bakteria dalam plak dan menghasilkan asid yang diserap ke dalam gigi. Setelah jangka masa tertentu, enamel gigi mula pecah di bawah permukaan manakala permukaan atas kekal utuh. Apabila enamel di bawah permukaan telah terhakis dan melemahkan permukaan atas, ia akan runtuh lalu membentuk kaviti.

Bagaimanakah Saya Dapat Membantu Mencegah Kaviti?

  • Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan gunakan flos setiap hari untuk menanggalkan plak di celah gigi dan di bawah garisan gusi
  • Lakukan pemeriksaan gigi secara berkala. Amalan penjagaan kesihatan pergigian yang baik dapat membantu menghentikan masalah daripada berlaku dan menghalang masalah kecil daripada menjadi besar
  • Gunakan produk pergigian yang mengandungi fluorida, termasuk ubat gigi
  • Pastikan air minuman anak-anak anda berfluorida. Jika bekalan air anda tidak mengandungi fluorida, doktor gigi atau pakar pediatrik anda mungkin memberikan mempreskripsikan suplemen fluorida harian.