patut anda pertimbangkan flos air - colgate malaysia

Patutkah Anda Menggunakan Flosser Air?

Walaupun memberus gigi dua kali sehari merupakan permulaan terbaik untuk kesihatan mulut yang baik, terdapat kawasan yang sukar dicapai di dalam mulut yang mungkin anda tidak dapat capai dengan hanya memberus gigi. Pembersihan antara gigi yang membantu membuang sisa makanan dan plak yang tersangkut di celah gigi anda ialah bahagian yang penting dalam kesihatan gigi. Tahukah anda bahawa flos benang tradisional bukan satu-satunya cara anda boleh membersihkan celah-celah gigi anda? Ketahui lebih lanjut tentang flos air dan sebab flos air mungkin menjadi pilihan anda.

Cara Flos Air Berfungsi

Flos air adalah peranti pegang yang membantu membuang sisa makanan dan plak yang tersangkut di celah gigi. Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah mengisi peranti dengan air sebelum menggunakannya. Kemudian letakkannya di dalam mulut anda, tepat di atas garis gusi dan hidupkan peranti. Pemflos itu akan mengeluarkan aliran air yang berterusan yang akan membersihkan dengan lembut di antara tempat yang sukar dicapai itu.

Sebab untuk Menggunakan Flos Air

Jika anda mempunyai gusi yang sensitif, anda mungkin mengalami ketidakselesaan dan pendarahan semasa menggunakan flos. Penggunaan flos gigi yang salah atau kasar boleh menyebabkan gejala ini. Walau bagaimanapun, pendarahan dan ketidakselesaan gusi juga merupakan gejala penyakit periodontium - jangkitan gusi yang disebabkan oleh pembentukan plak dan penumpukan tartar. Gerakan denyutan flos air boleh mengurangkan keradangan dan pendarahan gusi sambil membersihkan kawasan tersebut secara lembut. Jika anda jarang memflos gigi, anda mungkin mendapati bahawa anda merasa sensitif apabila mula menggunakan flos air, tetapi keadaan ini akan beransur kurang selepas penggunaan yang kerap. Anda juga boleh meredakan masalah sensitiviti dengan melaraskan suhu air supaya tidak terlalu sejuk atau terlalu panas. Jika anda masih menghadapi masalah, anda mungkin sedang mendepani masalah yang lebih besar dan perlu merujuk kepada doktor gigi anda.

Bagi sesetengah orang, flos tradisional boleh menjadi sukar. Orang yang menghidap artritis, penyakit Parkinson, sindrom terowong karpus atau keadaan lain yang menjejaskan tangan mungkin sukar menggunakan flos benang di sekeliling gigi. Mujurlah flos air ialah pilihan pembersihan antara gigi mekanikal yang mudah digunakan.

Akhir sekali, flos air adalah pilihan yang terbaik jika anda mempunyai rawatan pemulihan atau ortodontik seperti pendakap, jambatan tidak boleh tanggal, implan pergigian atau korona.

Sejauh manakah Keberkesanan Flos Air?

Flos air berfungsi melalui proses hidrokinetik, yakni pergerakan air. Gerakan ini berkesan menanggalkan plak longgar dan bakteria sambil membersihkan garis gusi dengan lembut. Walaupun kaedah pembersihan antara gigi ini boleh membantu mengurangkan pendarahan dalam gusi, kaedah ini mungkin tidak menghilangkan plak gigi dengan berkesan seperti flos tradisional.

Rutin kebersihan mulut yang baik adalah memberus gigi dua kali sehari dan pembersihan antara gigi. Sekiranya anda menghadapi kesukaran menggunakan flos benang tradisional, flos air mungkin menjadi pilihan lain bagi anda! Dengan bantuan juruhigin pergigian anda, anda boleh menentukan cara terbaik untuk membersihkan celah gigi anda dan mengukir senyuman yang sihat.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.