Dari usia bayi hingga remaja, gigi meletus secara berperingkat: mula-mula gigi kacip, kemudian taring, geraham kecil dan geraham dan akhirnya, gigi bongsu. Gigi terakhir adalah yang paling menarik; apa itu gigi bongsu? Doktor gigi memanggilnya geraham ketiga, dan gigi ini muncul di bahagian belakang mulut. Sesetengah orang tidak mengalami sebarang masalah dengan gigi bongsu mereka, tetapi ada orang yang mengalami kesakitan, jangkitan dan ketidakselesaan yang lain.
.png)
Apakah Itu Gigi Bongsu?
Tempat dan Masa Gigi Bongsu Tumbuh
Orang biasanya ada empat gigi bongsu, masing-masing muncul di belakang geraham di kedua-dua belah rahang atas dan bawah. Menurut laman American Dental Association (ADA) Mouth Healthy, gigi bongsu biasanya muncul antara umur 17 hingga 21 tahun. Cara ia muncul berbeza-beza bagi setiap individu. Namun begitu, Fred Quarnstrom, DDS daripada American Dental Board of Anesthesiology, menjelaskan bahawa gigi bongsu mungkin hanya meletus separa, atau bahkan kekal tertanam di dalam tisu gusi. Keadaan gigi yang tidak muncul dan masih ditutupi oleh tisu atau tulang ini disebut "terhimpit."
Mengapa Ia Muncul
Oleh sebab gigi bongsu menyebabkan begitu banyak masalah dan tidak begitu diperlukan untuk mengunyah, para doktor membuat spekulasi mengenai fungsinya. Gigi bongsu mula tumbuh di dalam rahang sekitar usia tujuh tahun, dan tidak hanya sebelum atau semasa kelahiran seperti gigi lain, kata Kamal Busaidy, BDS, FDSRCS daripada Pusat Sains Kesihatan Universiti Texas di Houston. Sepanjang kebanyakan sejarah manusia, diet yang biasa melelaskan gigi. Dalam keadaan sebegini, gigi bongsu mungkin berguna pada masa lalu untuk menggantikan gigi geraham yang sudah haus. Kini diet lebih lembut, jadi gigi tidak cepat haus, dan tiada jurang yang boleh diisi oleh gigi bongsu. Dr Quarnstrom menyatakan terdapat juga bukti bahawa rahang moden lebih kecil daripada rahang manusia prasejarah.
Apa Yang Berlaku
Masalah berkaitan gigi bongsu merangkumi kesakitan dan ketidakselesaan, jangkitan, penyakit gusi dan kereputan gigi. Beberapa masalah ini disebabkan oleh kesukaran untuk memberus gigi yang jauh di belakang mulut. Kesan serius lain akibat gigi bongsu terhimpit berlaku apabila sista terbentuk di bawah gigi. Sista ini boleh menyebabkan kehilangan tulang di dalam rahang, dan memberikan tekanan kepada saraf rahang.
Masalah berkaitan gigi bongsu biasanya berakhir dengan mencabut gigi tersebut. Doktor gigi selalunya memilih untuk mencabut gigi bongsu ketika pesakit berusia akhir remaja atau awal 20-an, sebelum gigi itu menimbulkan masalah. Pada usia ini, akar gigi bongsu belum melekap dengan utuh pada tulang rahang, jadi lebih mudah dicabut berbanding pada pesakit yang lebih tua. Mencabut gigi bongsu pada akhir usia turut membawa risiko kerosakan yang lebih tinggi kepada saraf utama di dalam rahang, yang dipanggil saraf alveolar inferior. Pesakit yang lebih muda juga selalunya pulih dengan lebih cepat selepas pemberian sedatif.
Remaja yang memakai pendakap gigi atau peralatan ortodontik lain, menurut Busaidy, selalunya mencabut gigi bongsu mereka pada akhir rawatan. Ini kerana gigi bongsu yang muncul boleh mengubah penjajaran gigi setelah diluruskan.
Jadi, apakah itu gigi bongsu? Ia tiada kaitan dengan membesar lebih bijak – cuma bertambah usia. Sekiranya gigi bongsu anda menimbulkan kesakitan atau ketidakselesaan, sila berjumpa dengan doktor gigi anda. Rawatan awal akan mengurangkan risiko anda menghadapi masalah yang lebih besar kelak.
Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.