Pereputan Gigi dan Penyakit Gusi

Jambatan Gigi dan Kesihatan Mulut

 

Seperti yang kita sedia maklum, kehilangan gigi boleh menjadikannya sukar untuk berkomunikasi, bercakap, menggigit atau makan dengan berkesan. Apabila terdapat gigi yang hilang, adalah penting untuk berjumpa doktor gigi anda untuk membincangkan pilihan pergigian untuk penggantian.
Jambatan gigi digunakan dalam amalan pergigian untuk menggantikan gigi yang hilang dan menyediakan jambatan yang menghubungkan gigi bersebelahan. Gigi di kedua-dua belah gigi yang hilang dipanggil gigi tupang dan gigi pengganti pula dipanggil pontik (gigi palsu).

Mengapakah Jambatan Penting?
Jambatan gigi dapat membantu mengembalikan senyuman anda dan mengekalkan bentuk muka yang sesuai. Ia juga boleh membantu anda mengunyah makanan dengan betul, bercakap dan menyeimbangkan kedudukan rahang semasa menggigit, yang membantu mencegah gigi lain di dalam mulut daripada terkeluar dari tempatnya atau menjadi renggang.

Apakah Jenis Jambatan Gigi Yang Boleh Saya Pilih?
Antara tiga jenis jambatan gigi yang paling lazim ialah:

Traditional Bridge

1. Jambatan Tradisional — ini merupakan jenis jambatan yang paling popular digunakan dalam amalan pergigian dan diperbuat daripada seramik atau porselin yang digabungkan dengan logam. Korona gigi dibuat untuk gigi di kedua-dua belah gigi yang hilang (gigi tupang) dengan pontik di antara kedua-duanya.

Cantilever Bridge

2. Jambatan Julur Tuas (Cantilever) — ini digunakan apabila pesakit tidak mempunyai dua gigi di kedua-dua belah gigi yang hilang. Gigi tupang bersebelahan satu sama lain disediakan dan pontik dilekatkan pada hujungnya.

Maryland Bridge

3. Jambatan Maryland — jambatan ini diperbuat daripada kerangka logam di mana pontik (gigi palsu) dilekatkan pada sayap logam atau porselin yang disimen pada kedua-dua gigi tupang. Jambatan ini merupakan alternatif konservatif kepada jambatan tradisional.

Berapakah Kos Jambatan dan Berapa Lama Ia Boleh Bertahan?
Purata kos jambatan gigi adalah berlainan harganya berdasarkan bilangan unit dan kawasan negara tempat anda tinggal. Kebanyakan polisi insurans pergigian akan melindungi sebahagian daripada kosnya. Jambatan gigi boleh bertahan sehingga bertahun-tahun lamanya jika dijaga dengan betul dengan pemeriksaan dan pembersihan profesional.

Apakah Yang Boleh Dijangka Semasa Janji Temu Pergigian Saya?
Pada janji temu pertama, doktor gigi akan mula membuang struktur enamel gigi tupang untuk menyediakan gigi untuk korona. Selepas itu, impresi atau acuan gigi anda akan diambil dan jambatan gigi, korona dan pontik akan dicipta oleh makmal pergigian doktor gigi anda. Doktor gigi anda akan membuat jambatan sementara untuk dipakai semasa jambatan kekal anda sedang dibuat.

Pada janji temu yang seterusnya, jambatan sementara akan dibuang dan jambatan kekal baharu akan diletakkan di tempat berkenaan dan diperiksa untuk padanan yang betul. Anda mungkin perlu membuat lebih daripada satu lawatan untuk memastikan jambatan kekal muat dengan selesa di dalam mulut.

Menjaga Jambatan Gigi Anda
Jambatan kekal dijaga seperti gigi kekal anda. Jambatan perlu dibersihkan dengan betul di antara gigi dan pontik menggunakan berus proksi dan/atau flos gigi. Memberus dengan betul sebanyak dua kali sehari menggunakan ubat gigi fluorida juga adalah penting.

Membersihkan jambatan anda akan membantu mengurangkan kaviti dan mengurangkan keradangan tisu gusi. Sila berjumpa pakar pergigian anda untuk pemeriksaan secara berkala dan janji temu pembersihan profesional.

© Hak Cipta Colgate-Palmolive Company 2010

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.