Melegakan Sakit Gigi Melalui Ramuan di Rumah
Naluri pertama anda untuk melegakan sakit gigi mungkin adalah dengan mengambil ubat tahan sakit tanpa preskripsi. Tetapi ada kaedah lain yang boleh anda cuba untuk mendapat kelegaan sementara waktu sebelum berjumpa dengan pakar gigi. Empat ramuan lazim di rumah untuk sakit gigi ialah:
- Minyak bunga cengkih
- Minyak pudina
- Kumuran air garam
- Kumuran hidrogen peroksida
Minyak bunga cengkih berfungsi untuk melegakan rasa sakit dan mengurangkan bengkak akibat sakit gigi. Keberkesanannya datang daripada kualiti anestetik semula jadi yang bertindak sebagai pereda sakit sementara. Titiskan sedikit minyak bunga cengkih (eugenol) pada kapas, kemudian sapu kapas tersebut dengan lembut pada gigi dan gusi yang terlibat. Walaupun minyak bunga cengkih dapat melegakan kesakitan, tetapi ia mempunyai rasa yang tidak menyenangkan.
Minyak pudina, iaitu ramuan yang digunakan untuk merawat sakit gigi dan kesakitan lain, didapati mempunyai sifat antibakteria. Minyak pati ini ialah pilihan yang popular bagi mereka yang mencari pelega sakit gigi jangka pendek sebelum bantuan pergigian tersedia. Sama seperti minyak bunga cengkih, gunakan kapas untuk menyapu beberapa titis ke kawasan yang terlibat.
Satu lagi ramuan di rumah adalah berkumur dengan air garam suam untuk meredakan rasa sakit akibat gusi yang bengkak. Tambahkan dua sudu kecil garam ke dalam secawan air suam. Ludah campuran itu setelah anda mengocaknya di dalam mulut. Kumuran air masin juga dapat mengawal pengumpulan plak pada gigi dan mencegah penyakit mulut.
Seperti kumuran air garam, kumuran hidrogen peroksida boleh melegakan rasa sakit dan bengkak di dalam mulut. Kumuran ini juga boleh membunuh bakteria, mengurangkan plak dan memulihkan gusi berdarah. Kajian yang diterbitkan dalam Journal of International Society of Preventive & Community Dentistry di India menunjukkan bahawa penggunaan hidrogen peroksida sebagai ubat kumur boleh mengurangkan gingivitis. Sebelum menggunakan kumuran jenis ini, pastikan anda menyediakan larutan dengan betul: campurkan tiga peratus hidrogen peroksida dengan bahagian air yang sama. Kocakkan di dalam mulut anda, jangan telan, dan ludah!
Walaupun pencegahan tidak menjamin tiada langsung sakit gigi kecemasan, berjumpa doktor gigi anda secara berkala dapat membantu mengelakkan kecemasan pergigian pada masa akan datang. Walaupun sakit gigi mungkin membuat mulut anda sensitif, sangat penting untuk mengikuti tabiat kebersihan mulut yang baik. Berus dan flos gigi setiap hari dan tambahkan ubat kumur ke dalam rutin anda.
Jika anda atau anak anda mengalami sakit gigi, doktor gigi anda dapat memberikan pereda sakit gigi kecemasan. Sementara menunggu untuk berjumpa dengan pakar gigi, kini anda mempunyai ramuan di rumah yang berguna yang dapat memberi anda kelegaan sementara.