Apa yang Perlu Dilakukan Jika Gusi Anda Berdarah

Lima Perkara yang Boleh Dilakukan Jika Gusi Anda Berdarah

Anda sedang memberus gigi anda dan mendapati ada warna merah jambu apabila anda meludahkan ubat gigi. Anda mungkin mengalami pendarahan apabila anda menggunakan flos gigi. Walaupun sedikit darah tidak kelihatan seperti masalah besar, pendarahan gusi yang berterusan tidak patut diabaikan. Gusi berdarah boleh berlaku dengan beberapa sebab, daripada masalah gingivitis hingga kepada kesan sampingan kehamilan. Mengubah rutin penjagaan mulut anda juga boleh menyebabkan gusi anda berdarah, sekurang-kurangnya pada peringkat awal. Berikut ialah langkah yang boleh dilakukan jika anda menyedari terdapat pendarahan berlaku.

Tingkatkan Penjagaan Mulut Anda

Menurut Medline Plus, punca utama gusi berdarah ialah penumpukan plak di sepanjang garisan gusi. Apabila plak tidak ditanggalkan dengan segera, ia mengeras menjadi tartar iaitu bahan yang terkalsifikasi dan menjadi tempat plak melekat dan terus merengsa gusi, yang menyebabkan pendarahan berlaku dan boleh melarat menjadi penyakit gusi yang lebih teruk. Cara terbaik untuk mengurangkan penumpukan plak dan risiko gusi berdarah adalah dengan memperbaiki rutin penjagaan mulut anda.

Jangan lupa untuk memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi fluorida. Penggunaan flos juga harus dilakukan sekurang-kurangnya sekali sehari; kadang-kadang gusi berhenti berdarah apabila penggunaan flos dilakukan secara tetap. Selain itu, berjumpa doktor gigi secara berkala – bukan hanya apabila anda ada masalah atau kebimbangan – perlu dilakukan supaya mulut anda sentiasa berkeadaan baik.

Lihat Alat Pergigian Anda

Jika anda memberus gigi dan menggunakan flos gigi secara berkala dan berjumpa doktor gigi dua kali setahun, mungkin alat penjagaan kebersihan mulut anda yang menyebabkan gusi anda berdarah. Walaupun mungkin kelihatan seperti berus gigi dengan bulu berus sederhana atau keras membersihkan gigi dan gusi anda dengan lebih mendalam atau menyeluruh, bulu berus yang lebih keras biasanya hanya menyebabkan kerengsaan - yang mungkin menyebabkan gusi anda berdarah. Tapak American Dental Association (ADA) Mouth Healthy mencadangkan supaya menggunakan berus gigi dengan bulu berus lembut, yang membersihkan gigi dan gusi anda dengan menyeluruh tanpa merengsakannya.

Dalam sesetengah kes, mungkin bukan alat tersebut yang menyebabkan pendarahan, tetapi cara anda menggunakannya. Jika anda tidak menggunakan flos gigi secara berkala, mulakan semula sekarang. Anda mungkin melihat sedikit darah di garisan gusi anda, tetapi pastikan anda tidak memflos dengan kasar dan elakkan daripada menekan flos dengan kuat pada gigi dan gusi anda.

Kekalkan Diet Sihat

Jenis makanan dan waktu makan juga memainkan peranan untuk mencegah pendarahan gusi. Makanan yang mengandungi banyak gula atau karbohidrat ringkas meningkatkan risiko masalah gigi dan gusi kerana gula mewujudkan persekitaran ideal untuk pembentukan plak. Amalkan diet rendah gula serta tinggi nutrien penting yang terdapat dalam makanan seperti sayur-sayuran. Anda tidak perlu berhenti makan gula-gula untuk seumur hidup. Anda hanya perlu memastikan anda makan gula-gula dalam kuantiti sederhana, dan memberus gigi selepas anda makan snek manis supaya gula tidak melekat pada gigi.

Pertimbangkan Ubatan Anda

Ubat-ubatan tertentu juga meningkatkan kemungkinan gusi anda akan berdarah. Beberapa penawar sakit tanpa preskripsi doktor, contohnya aspirin, mencairkan darah dan oleh itu boleh meningkatkan pendarahan. Ubat preskripsi juga boleh menyebabkan gusi berdarah. Jika demikian, doktor anda mungkin mempreskripsikan dos yang berbeza atau ubat yang lain sama sekali. Sentiasa maklumkan kepada doktor anda jika anda mendapati ubat tersebut menyebabkan kesan sampingan, walaupun kesan itu ringan.

Jumpa Doktor Gigi Anda

Jika menukar tabiat penjagaan mulut anda, menyesuaikan ubat anda janji temu dengan doktor gigi anda untuk memeriksa gigi dan gusi anda dan menentukan sama ada anda menghidap keadaan yang lebih serius, seperti penyakit gusi lanjutan. Doktor gigi anda juga mungkin mengambil X-ray gigi dan gusi anda. Jika doktor gigi berpendapat bahawa rawatan diperlukan, seperti pembersihan mendalam atau pembedahan periodontium, kemungkinan besar anda akan diminta berjumpa pakar periodontik yang mengkhusus dalam rawatan penyakit gusi.

Dalam sesetengah kes, gusi berdarah bukanlah sesuatu yang serius, tetapi dalam situasi tertentu. ia memerlukan rawatan profesional. Dengan diagnosis dan penjagaan diri yang betul, gusi berdarah dapat dapat dielakkan daripada berulang.