Gingivitis merupakan penyakit gusi yang melibatkan keradangan pada gusi sehingga menjadi merah dan bengkak. Sekiranya diabaikan, kerengsaan ini boleh merebak ke gigi-gigi lain, berkemungkinan membentuk "poket" yang berjangkit dalam gusi dan kemudiannya melarat menjadi periodontitis. Penyakit periodontal yang tidak dirawat boleh memusnahkan tulang, gusi dan tisu yang mengekalkan gigi anda, seringkali mengakibatkan kehilangan gigi. Jadi bagaimanakah anda harus memulakan penjagaan gusi?
Langkah pertama rawatan bagi gingivitis adalah kebersihan mulut yang lebih baik di rumah. Tetapi, penjagaan sendiri bukanlah pengganti bagi pembersihan gigi yang kerap, menurut Institut Penyelidikan Pergigigan dan Kraniofasial Kebangsaan (NIDCR). Anda mungkin memerlukan pembersihan menyeluruh terlebih dahulu untuk menanggalkan tartar yang terkumpul.
Bagi program kebersihan mulut di rumah, berus sekurang-kurangnya dua kali sehari - sebaiknya selepas setiap waktu makan - selama dua minit menggunakan berus gigi berbulu lembut, dan flos sekurang-kurangnya sekali sehari pada waktu malam. Doktor gigi anda juga mungkin mengesyorkan ubat kumur antiseptik preskripsi untuk mencegah gingivitis dan keradangan.
NIDCR memerihalkan tiga cara untuk merawat penyakit gusi jika ia sudah melampaui penjagaan peribadi - pembersihan menyeluruh, ubatan dan pembedahan.
Pembersihan gigi menyeluruh melibatkan penskaleran, menggunakan sama ada peralatan pergigian atau peranti penskaleran ultrasonik, untuk menanggalkan tartar, plak dan bakteria dari permukaan gigi dan dari bawah gusi. Ia juga melibatkan pengetaman akar untuk meratakan permukaan akar, mencegah pengumpulan tartar, plak dan bakteria.
Ubatan biasanya merupakan antibiotik untuk menghilangkan jangkitan. Doktor gigi anda mungkin mengesyorkan antibiotik topikal, seperti kumuran preskripsi atau larutan antibiotik yang diletakkan di ruang di antara gigi dan gusi anda. Antibiotik oral dalam bentuk kapsul, walaupun kurang invasif, berfungsi untuk merawat penyakit gusi yang degil, dan lebih teruk.
Pembedahan biasanya dikhaskan untuk periodontitis yang tidak memberi tindak balas kepada rawatan lain. Bincangkan pilihan pembedahan dengan periodontis anda dan fahami faedah dan risikonya. Berikut ada beberapa pilihan:
Keadaan lain mungkin memerlukan tahap penjagaan yang lebih tinggi. Perokok mempunyai risiko penyakit gusi yang lebih tinggi menurut NIDCR. Jika anda mempunyai diabetes, risiko jangkitan anda lebih tinggi dan termasuk penyakit gusi. Selain dari itu, jika anda mengambil ubatan yang menyebabkan mulut kering, jumpa dengan doktor gigi anda mengenai cara untuk meningkatkan penghasilan air liur; mulut kering menyebabkan kewujudan bakteria yang merengsakan itu.
Jangan risau, penyakit periodontal sangat biasa berlaku, dan sesiapa sahaja boleh mengalami masalah tersebut. Tetapi kesedaran mengenai tahap keterukan yang dialami boleh menyediakan anda untuk mendapatkan rawatan yang paling berkesan.