Menjaga Gigi Pertama Bayi

Simptom Pertumbuhan Gigi Bayi dan Cara Merawatnya

 

oleh Diana Tosuni-O 'Neill RDH, BS

Dalam kehidupan setiap bayi, pasti tiba masanya apabila gigi pertama mereka mula muncul pada gusi; proses ini dipanggil pertumbuhan gigi. Walaupun ini boleh menjadi suatu masa yang mengecewakan bagi anda dan anak anda, mengetahui apa yang harus dijangka dapat membantu anda menguruskan dan mengatasi beberapa simptom pertumbuhan gigi bayi – yang boleh bermula seawal usia tiga bulan.

Besar kemungkinan anda akan mula melihat gigi pertama menolak menerusi garis gusi apabila bayi anda berusia antara empat hingga tujuh bulan, dan pengalaman ini mungkin berbeza-beza bagi setiap kanak-kanak. Ada kanak-kanak yang mungkin tumbuh gigi tanpa ibu bapa menyedarinya langsung. Ada juga kanak-kanak yang mungkin meragam, menangis atau bangun lebih kerap. Ibu bapa sering mendapati bahawa anak mereka mula "lebih meleleh air liurnya" atau ingin "memasukkan segala-galanya ke dalam mulut mereka" pada peringkat ini.

Simptom Pertumbuhan Gigi

Sesetengah bayi boleh merengek lebih daripada biasa apabila mereka mula tumbuh gigi, selalunya disebabkan sakit dan bengkak pada gusi sebelum gigi muncul. Simptom ini biasanya bermula kira-kira tiga hingga lima hari sebelum gigi muncul, dan simptom tersebut boleh hilang sebaik sahaja gigi tumbuh. Gigi pertama yang tumbuh adalah gigi hadapan pada usia kira-kira empat hingga tujuh bulan, manakala gigi belakang tumbuh antara usia 18 dan 24 bulan. Pertumbuhan gigi berlaku sehingga kesemua 20 gigi primer (susu) tumbuh di tempatnya, pada usia sekitar dua hingga tiga tahun.

Simptom-simptom lain bagi pertumbuhan gigi bayi termasuk:

  • Meleleh air liur

  • Gusi yang bengkak dan sensitif

  • Tingkah laku suka menggigit

  • Enggan makan dan

  • Masalah tidur

Petua Pertumbuhan Gigi

Benarkan anak anda mengunyah objek sejuk: Tuala kecil beku (digulung) atau gegelang gigit sejuk merupakan pilihan popular dalam kalangan ibu bapa. Menurut GlobalPost, pastikan juga bahawa gegelung ini selamat, kerana ada yang diketahui mengandungi cecair tidak bersih.

Pastikan gusi anak anda sentiasa bersih dengan mengelapnya menggunakan kain kasa selepas setiap kali makan, dan urut gusinya dengan jari anda atau berus gigi yang lembut. Jika anda ingin menggunakan ubat melegakan sakit tanpa preskripsi doktor, sapukan ubat ini seperti yang diarahkan dan dalam dos yang sesuai bagi usia anak anda.

Menjaga Gigi Pertama Bayi

Pastikan mulut bayi anda kekal bersih dengan menggunakan tuala kecil yang lembap pada gusi setiap hari. Tuala kecil ini boleh mengelakkan bakteria daripada terkumpul dalam mulut bayi anda, terutamanya jika dia terus menggigit mainan dan barangan isi rumah yang lain. Namun, apabila gigi pertama bayi anda muncul, tukar kepada berus gigi kecil yang lembut.

Selepas gigi pertama bayi anda tumbuh, anda juga boleh bermula dengan pemeriksaan gigi secara berkala. Tapak Mouth Healthy Persatuan Pergigian Amerika mengesyorkan agar lawatan pergigian pertama ini dijadualkan selepas gigi pertama tumbuh dan tidak lewat daripada hari jadi pertama kanak-kanak. Gigi dan gusi bayi anda akan diperiksa pada lawatan ini, dan adalah penting bahawa anda menggunakan produk pembersihan gigi yang selamat dan lembut di rumah, seperti ubat gigi Colgate Kids Classic™ untuk bayi dan todler, yang ditujukan khas bagi kanak-kanak sehingga usia dua tahun, kerana ia tidak mengandungi fluorida dan selamat jika ditelan secara tidak sengaja.

Anda boleh mula menggunakan ubat gigi fluorida apabila anak anda sudah pandai meludah pada usia kira-kira dua hingga tiga tahun. Pada peringkat ini, kebanyakan gigi primer sepatutnya sudah tumbuh dalam mulut anak anda. Pastikan anda hanya menggunakan sedikit ubat gigi fluorida semasa memberus gigi.

Pastikan anda memberus gigi anak anda dua kali sehari seperti yang anda lakukan untuk diri anda sendiri. Ingat bahawa penjagaan gigi kanak-kanak yang teratur akan membantu mengekalkan gigi dan gusi yang sihat seumur hidup. Tiada yang lebih indah daripada bayi yang tersenyum gembira ketika memandang anda dengan senyum menyeringainya!

Tentang pengarangnya: Diana Tosuni-O 'Neill adalah seorang pakar kebersihan gigi berdaftar yang berlesen di New York dan New Jersey dengan pengalaman klinikal lebih 25 tahun dalam amalan kebersihan gigi. Beliau telah bekerja selama lebih 15 tahun dengan doktor gigi pasukan untuk pasukan sukan New York Giants, Brooklyn Nets dan New Jersey Devils. Diana adalah juga seorang Jurulatih Peribadi Bertauliah ACE dan Jurulatih Kecergasan Kumpulan. Keghairahannya terhadap bidang pergigian dan kecergasan menjangkau masa lebih dua dekad. Beliau juga seorang penulis bebas yang mengkhususi bidang penjagaan kesihatan mulut. Selain suka mengembara, berkebun dan menghias, beliau turut menggemari senaman kecergasannya. Diana kini menetap di luar Manhattan bersama dua orang anaknya.

 

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.