Adakah anda tahu semua nama gigi manusia? - colgate
Badge field

Adakah Anda Tahu Kesemua Nama Gigi Manusia?

Gigi anda terbahagi kepada empat jenis: gigi kacip, taring, geraham kecil dan geraham. Paling banyak, anda mempunyai 32 batang gigi kekal, tetapi anda bermula dengan 20 batang gigi susu, yang merangkumi hanya gigi kacip, gigi taring dan gigi geraham, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mengetahui semua nama gigi manusia, setiap jenis lokasi dan fungsinya boleh membantu anda memahami dengan lebih baik sebab penjagaan mulut anda sangat penting.

Gigi Kacip Memotong Makanan

Senyuman anda bermula dengan gigi kacip anda. Lapan batang gigi ini berada di hadapan mulut anda, iaitu empat di atas dan empat di bawah, seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Fungsi utama gigi kacip anda adalah memotong dan menyiat makanan menjadi kepingan yang lebih mudah dikunyah. Terdapat dua jenis gigi kacip:

  • Gigi kacip tengah

    Gigi kacip ini berada di tengah-tengah mulut anda. Ia biasanya merupakan gigi pertama yang tumbuh bagi bayi, menurut KKM. Gigi ini juga sangat mudah retak dan patah. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kecederaan pada gigi ialah perkara biasa semasa bersukan, oleh itu, penting untuk kanak-kanak dan atlet menggunakan perlindungan khas seperti pelindung gigi semasa bersukan.
  • Gigi Kacip Sisi

    Dua gigi hadapan anda mungkin mempunyai peranan "penting" dalam senyuman anda, tetapi gigi yang bersebelahan — gigi kacip sisi anda — juga membantu untuk mengukir senyuman yang indah. Bentuk, lokasi dan kedudukan gigi ini yang berhubung dengan gigi kacip tengah anda membentuk "nisbah keemasan", yang merupakan hubungan saiz yang dilihat oleh manusia sebagai sedap dipandang mata.

Gigi Taring Memegang dan Mengoyakkan Makanan

Empat kuspid anda ialah gigi seperti taring yang terletak di sebelah gigi kacip sisi anda. Gigi ini juga sering dikenali sebagai gigi mata (dalam kes dua gigi bahagian atas) atau kanin. Gigi tersebut mempunyai permukaan gigitan yang tajam, seperti yang dinyatakan oleh Iluminasi, dan membantu anda mengapit dan mengoyak makanan. Kedudukan gigi tersebut di dalam mulut anda juga membantu memandu gigi dan makanan anda kepada kedudukan mengunyah yang optimum.

Gigi Geraham Kecil Menghancurkan Makanan

Gigi geraham kecil anda ialah gigi yang bersebelahan dengan gigi taring anda dan hanya terdapat pada set gigi kekal anda. Lapan batang gigi ini membantu anda menghancurkan makanan, seperti yang dijelaskan oleh Iluminasi. Dari segi nama gigi manusia, gigi ini juga dirujuk sebagai bikuspid — istilah yang menunjukkan bahawa gigi itu mempunyai dua mata.

Gigi Geraham Mengisar Makanan

Gigi geraham anda terletak di bahagian belakang mulut dan merupakan gigi utama yang anda gunakan untuk mengunyah, seperti yang dinyatakan oleh Iluminasi. Dalam set gigi kekal yang lengkap, akan ada enam geraham secara keseluruhan, iaitu tiga di bahagian atas dan tiga di bahagian bawah:

  • Gigi Geraham Pertama dan Kedua

    Gigi geraham pertama anda terletak di bahagian belakang mulut di sebelah gigi geraham kedua anda. Di belakang gigi itu ialah gigi geraham kedua anda, seperti yang digariskan oleh carta KKM. Gigi ini mempunyai lubang dan rekahan, yang merupakan alur yang boleh mengundang bakteria dan pereputan. Untuk melindungi gigi ini daripada kaviti, doktor gigi anda mungkin mengesyorkan selan gigi, seperti yang dijelaskan oleh KKM.
  • Gigi Geraham Ketiga

    Gigi geraham ketiga anda — juga dikenali sebagai gigi bongsu — ialah gigi paling jauh di bahagian belakang mulut anda. Gigi ini unik kerana merupakan gigi terakhir yang meletus di dalam mulut dan selalunya perlu dicabut, seperti yang dinyatakan oleh KKM.

Gigi sebenarnya boleh bertahan selama beratus-ratus tahun, tetapi mudah haus, rosak dan reput sepanjang hayat. Pastikan untuk memberus gigi dua kali sehari, memflos gigi setiap hari dan ikuti janji temu pergigian secara berkala bagi memastikan semua gigi anda kekal dan sihat.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.