Empat Jenis Gigi Dan Keterangan Lanjut

Empat Jenis Gigi Dan Maklumat Lanjut

Kebanyakan orang tahu betapa pentingnya menjaga gigi kita, tetapi adakah anda tahu perbezaan antara jenis gigi dan bagaimana kita menggunakannya? Gigi bukan hanya membantu anda menggigit dan mengunyah; gigi memainkan peranan penting semasa bercakap dan menyokong banyak aspek struktur wajah anda. Menurut Everyday Health, terdapat empat jenis gigi di dalam mulut anda, dan setiap jenis gigi melaksanakan fungsi yang sedikit berbeza. Di samping itu, terdapat tiga pembentukan jarang didapati yang mungkin terbentuk pada rahang yang sedang membesar.

Gigi Kacip (Incisor)

Di bahagian hadapan mulut terdapat lapan gigi halus dan lurus yang dipanggil gigi kacip – empat di bahagian atas dan empat di bahagian bawah – yang menggigit makanan dan membantu anda menyebut perkataan semasa bercakap. Gigi kacip juga menyokong bibir.

Gigi Taring (Canine)

Di kedua-dua belah gigi kacip atas dan bawah terdapat gigi taring tunggal yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak empat batang. Gigi yang sedikit runcing ini dipanggil kuspid oleh doktor gigi, dan seperti gigi kacip, gigi ini memotong atau mengoyakkan makanan dan menyokong bibir. Satu lagi fungsi gigi taring ialah membantu memandu semua gigi ke tempatnya apabila rahang atas dan bawah bertemu.

Gigi Geraham Kecil (Premolar)

Gigi geraham kecil atau yang dipanggil bikuspid oleh doktor gigi terletak di belakang gigi taring. Gigi geraham kecil mempunyai permukaan yang rata dan digunakan untuk mengunyah makanan dan mengekalkan ketinggian muka. Terdapat lapan gigi geraham kecil di dalam mulut orang dewasa: empat di atas dan empat di bawah.

Gigi Geraham (Molar)

Gigi geraham terletak di sebelah gigi geraham kecil. Ini merupakan gigi anda yang paling lebar dan rata, dan ada 12 batang semuanya: enam pada rahang atas dan enam pada rahang bawah. American Dental Association (ADA), menggambarkan gigi bongsu sebagai empat gigi geraham pada belakang rahang bawah dan rahang atas. Ia merupakan gigi yang terakhir tumbuh pada peringkat remaja. Membersihkan gigi bongsu agak sukar kerana ia terletak jauh di bahagian belakang mulut, namun begitu berus gigi yang tirus membantu memudahkan proses memberus gigi. Seperti gigi geraham kecil, gigi geraham digunakan untuk mengunyah makanan dan untuk mengekalkan ketinggian wajah. Gigi geraham bawah mempunyai dua akar manakala gigi geraham atas memiliki tiga akar.

Gigi Lebih (Supernumary)

Ada kalanya gigi tumbuh di luar proses biasa, contohnya gigi lebih. Mulut orang dewasa biasanya mempunyai 32 batang gigi tetapi kadangkala lebih banyak gigi mungkin tumbuh; inilah yang dipanggil gigi lebih. University of Missouri Kansas City School of Dentistry mengatakan gigi lebih yang paling biasa ialah gigi taring tambahan yang terletak di antara dua gigi taring tengah yang juga dikenali sebagai mesiodens. Gigi lebih yang kedua paling biasa ialah gigi geraham tambahan yang dipanggil paramolar. Gigi taring lebih juga mungkin boleh tumbuh.

Gigi Natal

Gigi natal ialah gigi yang telah sedia tumbuh semasa kelahiran, menurut University of Maryland Medical Center. Ia berlaku sekali dalam setiap 2,000 hingga 3,000 kelahiran. Gigi natal juga dipanggil gigi janin dan ia biasanya muncul pada gusi bawah. Oleh kerana gigi natal sering mempunyai akar yang lemah atau tiada akar langsung, ia mudah tercabut. Oleh itu, doktor sering menasihatkan supaya gigi ini dicabut untuk mengelakkan risiko tertelan. Gigi natal juga boleh merengsakan atau mencederakan ibu atau lidah bayi semasa penyusuan. Gigi natal yang tumbuh biasanya merupakan kes terpencil tetapi ia juga mungkin menandakan simptom keadaan perubatan yang lain.

Menjaga semua jenis gigi kita dengan baik dan menjalani pemeriksaan gigi secara berkala adalah sangat penting. Dengan satu set gigi sihat yang lengkap, manusia boleh makan dan bertutur dengan betul serta kekal yakin apabila tersenyum.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.