Tujuh Makanan Terbaik Untuk Gigi Anda
Badge field

Senarai Makanan Anda: Tujuh Makanan Terbaik Untuk Gigi Anda

Published date field

Apabila bercakap tentang kesihatan gigi anda, makanan anda menentukan kesihatan diri anda. Makanan bergula, seperti gula-gula dan minuman berkarbonat menyumbang kepada pereputan gigi. Salah satu bahagian pertama yang terjejas apabila diet anda tidak ideal ialah kesihatan mulut anda. Gunakan senarai makanan sihat ini untuk menambah baik diet anda dan juga kesihatan mulut anda.

Keju

Jika anda salah seorang penggemar keju, anda sekarang mempunyai alasan lain untuk menikmati makanan yang lazat ini. Satu kajian yang disiarkan dalam jurnal General Dentistry terbitan Mei/Jun 2013 oleh American Academy of General Dentistry yang dilaporkan oleh EurekAlert ! mendapati bahawa makan keju dapat meningkatkan pH di dalam mulut peserta kajian dan oleh itu, risiko pereputan gigi mereka dapat dikurangkan. Hasil kajian mendapati bahawa semasa mengunyah keju, rembesan air liur di dalam mulut akan bertambah. Keju juga mengandungi kalsium dan protein iaitu nutrien yang menguatkan enamel gigi.

Yogurt

Seperti keju, yogurt mengandungi kalsium dan protein yang tinggi yang menjadikannya ideal untuk menguatkan dan meningkatkan kesihatan gigi anda. Probiotik, atau bakteria bermanfaat yang terdapat dalam yogurt juga membantu gusi anda kerana bakteria baik ini membasmi bakteria yang menyebabkan kaviti. Jika anda memutuskan untuk menambah lebih banyak yogurt dalam diet anda, langkah terbaik ialah memilih perisa biasa yang tidak ditambah gula.

Sayuran Daun Hijau

Sayuran daun hijau sering dimasukkan ke dalam mana-mana senarai makanan sihat. Ia kaya dengan vitamin dan mineral tetapi rendah kalori. Sayuran daun hijau seperti kubis daun (kale) dan bayam juga meningkatkan kesihatan mulut. Dengan kandungan kalsium yang tinggi, ia membina enamel gigi anda. Ia juga mengandungi asid folik, sejenis vitamin B yang mempunyai banyak manfaat kesihatan, serta mungkin dapat merawat penyakit gusi yang dialami oleh wanita hamil, menurut MedlinePlus. Jika anda menghadapi masalah untuk menambahkan sayuran daun hijau ke dalam diet anda, tambahkan bayam kecil kepada salad anda atau letakkan kubis daun di atas piza. Anda juga boleh cuba menambahkan sayur-sayuran ke dalam smoothie anda.

Epal

Walaupun ADA mengesyorkan supaya kita mengelakkan memakan kebanyakan makanan yang manis, terdapat beberapa pengecualian. Buah-buahan, seperti epal, mungkin manis, tetapi ia juga tinggi serat dan air. Tindakan memakan epal menghasilkan air liur di dalam mulut anda, yang menyingkirkan bakteria dan partikel makanan. Tekstur buah yang berserat ini juga merangsang gusi. Memakan epal tidak sama dengan memberus gigi anda dengan ubat gigi yang mengandungi fluorida tetapi ia dapat membantu, sehingga anda berpeluang untuk memberus gigi. Sertakan sebiji epal atau potongan epal di dalam bekas makan tengah hari anda untuk membersihkan mulut anda dengan baik pada akhir hidangan.

Lobak Merah

Seperti epal, lobak merah rangup dan kaya dengan serat. Makan segenggam lobak merah mentah selepas makan dapat meningkatkan rembesan air liur di dalam mulut yang mengurangkan risiko anda mendapat kaviti. Selain mengandungi kandungan serat yang tinggi, lobak merah juga merupakan sumber vitamin A yang sangat baik. Campurkan beberapa potongan lobak merah mentah ke dalam salad anda atau makan beberapa biji lobak merah kecil begitu sahaja.

Saderi

Saderi mungkin tidak begitu digemari disebabkan rasanya yang tawar, berair dan banyak serabut, namun begitu, seperti juga lobak dan epal, ia bertindak seakan-akan berus gigi yang menyental cebisan makanan dan bakteria dari gigi anda. Ia juga merupakan sumber vitamin A dan vitamin C yang baik iaitu dua jenis antioksidan yang meningkatkan kesihatan gusi anda. Saderi akan lebih lazat jika dimakan dengan keju krim.

Badam

Badam sangat baik untuk gigi anda kerana ia merupakan sumber kalsium dan protein yang baik di samping kandungan gula yang rendah. Nikmati hidangan kecil badam dengan makanan tengah hari anda. Anda juga boleh menambahkan sedikit badam ke dalam salad atau hidangan goreng kilas sebagai hidangan makan malam.

Selain menambahkan lebih banyak sayuran berdaun, produk tenusu dan sayuran berserat dalam diet anda, minuman juga adalah penting. Air kosong sentiasa menjadi pilihan terbaik kerana ia tidak mengandungi kalori atau gula, terutamanya jika dibandingkan dengan jus atau minuman berkarbonat. Diet anda membawa perbezaan besar untuk menyerlah senyuman yang sihat.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.