makanan yang hendak dimakan selepas cabut gigi - colgate malaysia

Makanan Yang Boleh Diambil Selepas Cabut Gigi

Adakah anda baru sahaja mencabut gigi atau mendapati anda mungkin perlu mencabut gigi? Mencabut gigi melalui pembedahan ialah langkah berani yang boleh membantu meningkatkan kesihatan gigi anda dalam jangka masa panjang - tahniah! Anda mungkin mengalami rasa nyeri atau ketidakselesaan selepas prosedur itu yang menjadikan pengunyahan dan makan agak mencabar. Makanan tertentu boleh membantu melegakan anda melalui fasa pemulihan, manakala ada makanan yang boleh menjejaskan kawasan tersebut. Berikut ialah beberapa makanan yang boleh anda makan selepas gigi anda dicabut.

Makanan Yang Boleh Diambil Selepas Mencabut Gigi:

Cuba beberapa makanan lembut dan cecair. Bahan ini bagus kerana tidak memerlukan banyak gigitan dan kunyahan. Suhu makanan yang anda makan selepas mencabut gigi juga perlu dipertimbangkan. Makanan yang terlalu panas atau dingin boleh menyebabkan kesakitan di kawasan berkenaan, tetapi anda boleh menikmati alternatif makanan sejuk atau bersuhu bilik.

Sup Sejuk

Sup bukan sahaja mudah dimakan, malah mengandungi nutrien dan protein yang baik untuk anda. Dapatkan semangkuk sup suam atau sejuk sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan susulan. Anda boleh juga menambah beberapa bahan yang mudah dikunyah seperti sedikit sayur-sayuran dan pasta.

Smoothie

Smoothie ialah cara terbaik untuk menikmati buah-buahan selepas anda mencabut gigi. Kisarkan buah-buahan kegemaran anda dengan sedikit yogurt atau kefir untuk menambah protein, kalsium dan probiotik dalam minuman. Anda boleh menambah yogurt atau produk tenusu yang serupa untuk mengurangkan keasidan, yang berkemungkinan kurang merengsakan gusi yang lembut. Elakkan menggunakan penyedut semasa minum smoothie atau sebarang minuman cecair kerana tindakan menyedut itu boleh menganggu darah beku yang melindungi soket gigi yang kosong. Tindakan ini boleh mengurangkan risiko mendapat soket kering selepas cabutan gigi.

Telur masak hancur

Telur masak hancur yang gebu mudah dikunyah dan tinggi kandungan protein. Jangan lupa untuk membiarkan telur sejuk dahulu, kerana makanan panas boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Makanan Lecek atau Terpuri

Anda masih boleh mendapatkan semua nutrien yang diperlukan oleh badan anda apabila makan makanan lembut selepas mencabut gigi. Lecek atau purikan buah-buahan dan sayur-sayuran kegemaran anda seperti kentang, skuasy, kacang hijau, lobak merah, pisang dan avokado.

Makanan Yang Tidak Boleh Diambil Selepas Mencabut Gigi

Makanan Pedas dan Berasid

Anda mungkin perlu mengelakkan makanan pedas dan berasid selepas mencabut gigi. Sos pedas, minuman ringan dan lemon boleh merengsakan mulut dan gusi yang sensitif.

Kudapan Rangup

Menggigit dan mengunyah makanan pejal akan menjadi sukar untuk beberapa hari. Jauhi bertih jagung, kerepek, kacang dan kudapan lain yang sukar dimakan.

Adalah penting untuk menjaga gusi dan mulut anda yang lembut selepas pencabutan gigi. Anda boleh mengurangkan ketidakselesaan dengan memakan makanan lembut dan cecair semasa anda sedang sembuh. Berita baiknya ialah anda masih boleh menikmati makanan yang lazat dan berkhasiat seperti semangkuk sup, smoothie yang sihat serta buah-buahan dan sayur-sayuran lecek atau terpuri selepas prosedur. Jadilah kreatif dan tambahkan sentuhan istimewa anda dalam cadangan makanan lembut ini!

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.