Kebersihan Mulut

Empat Cara Untuk Menjaga Kebersihan Gigi Dengan Baik Apabila Usia Semakin Meningkat

oleh Amy Freeman

Kebersihan gigi dan tabiat penjagaan mulut yang baik adalah penting pada sebarang peringkat umur. Tetapi apabila usia anda semakin meningkat, anda mungkin tertanya-tanya sama ada rutin pergigian anda perlu diubah sedikit, atau jika perubahan hidup tertentu juga telah membawa perubahan dalam mulut anda. Tidak kira sama ada anda mempunyai semua gigi asal anda, hanya sesetengah daripadanya atau set gigi palsu yang penuh, kepentingan menjaga kesihatan mulut anda apabila anda semakin tua adalah sama seperti ketika anda masih kanak-kanak.

Fluorida Tetap Penting


Fluorida bukan hanya untuk kanak-kanak. Walaupun anda berusia lebih daripada 50 tahun, fluorida masih penting untuk melindungi permukaan gigi anda dan mencegah kerosakan. Mayo Clinic mencatat bahawa warga emas mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami gigi berlubang. Maka, adalah dua kali lebih penting bagi anda untuk memastikan fluorida menjadi sebahagian daripada rutin harian anda. Apabila memberus gigi dua kali sehari, gunakan ubat gigi berfluorida, seperti Colgate® Cavity Protection. Amalan meminum air paip berfluorida juga boleh membantu anda mencegah kerosakan gigi apabila usia anda semakin meningkat. Jika anda sangat bimbang tentang kaviti atau sudah ada beberapa gigi berlubang dengan peningkatan usia, doktor gigi anda mungkin juga memberi anda rawatan fluorida di klinik untuk perlindungan tambahan.

Awasi Mulut Kering

Walaupun peningkatan usia tidak semestinya meningkatkan kemungkinan mendapat mulut kering, ciri-ciri penuaan tertentu, seperti lebih banyak pengambilan ubat secara lazim atau masalah kesihatan kronik, boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami mulut kering berserta dengan kaviti atau kerosakan gigi. Menurut Institut Penyelidikan Pergigian dan Kraniofasial Kebangsaan (NIDCR), mulut yang kering juga boleh menjejaskan kepadanan gigi palsu anda, dan hal ini sering menyebabkan leceten antara gigi palsu dan gusi anda.

Jika anda mengalami masalah mulut kering, terdapat beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan kepada amalan kebersihan gigi anda untuk mengurangkan simptom anda. Anda boleh menggunakan ubat cuci mulut atau semburan mulut pelembap, ataupun mengunyah gula-gula getah tanpa gula, yang menggalakkan pengeluaran air liur. Pilihan lain ialah menggunakan produk air liur tiruan, yang sering boleh dibeli tanpa preskripsi di farmasi. Menurut Persatuan Pergigian Amerika, ia mengandungi bahan-bahan yang menjadikannya seakan-akan sama dengan air liur sebenar.

Anda juga boleh berjumpa doktor atau doktor gigi anda jika masalah mulut kering anda disebabkan oleh ubat. Melaraskan dos anda atau mencuba ubat baru boleh membantu mengurangkan simptom tertentu.

Menjaga Gigi Palsu Anda

Menurut American College of Prosthodontists, lebih daripada 178 juta orang di Amerika Syarikat kehilangan sekurang-kurangnya satu gigi, dan kehilangan gigi lebih cenderung berlaku dalam kalangan warga emas. Jika anda termasuk dalam golongan tersebut, adalah penting untuk menjaga gigi palsu anda sebagaimana anda akan menjaga gigi anda yang sebenar. Gunakan ubat gigi yang dibuat khas untuk gigi palsu, dan pastikan anda membersihkannya setiap hari. Anda juga harus memberus gusi dan lidah anda dengan berus gigi yang lembut untuk menyingkirkan sebarang bakteria dan sisa-sisa makanan daripada mulut anda. Jika anda mempunyai gigi palsu separa, pastikan anda memflos antara implan sebelum memakai semula gigi palsu anda. Doktor gigi anda boleh memberi anda arahan khusus tentang penjagaan gigi palsu anda, supaya ia boleh tahan lebih lama.

Jangan Lupa tentang Penyakit Gusi

Tidak kira sama ada anda masih mempunyai semua gigi asal anda, penyakit gusi tetap menjadi kerisauan besar dalam kalangan warga emas. Sebuah kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Penyelidikan Pergigian mendapati hampir 64 peratus orang dewasa yang melebihi umur 65 tahun menghidap periodontitis teruk atau sederhana pada tahun 2009 dan 2010. Walaupun biasa berlaku, penyakit gusi tidak perlu menjadi sebahagian daripada proses penuaan. Menjaga kebersihan gigi dengan baik dan berjumpa doktor gigi secara berkala dapat membantu anda mencegahnya atau merawatnya dengan cepat.

Senyuman yang sihat menambah seri pada semua peringkat umur. Mengekalkan tabiat kebersihan yang baik, melawat doktor gigi anda secara berkala serta mengubah rutin anda mengikut perubahan badan anda akan dapat membantu anda mengekalkan senyuman yang kelihatan hebat seumur hidup.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.