Orang Dewasa 55 Tahun Ke Atas

Cara Meneruskan Penjagaan Kesihatan Mulut Seiring Dengan Usia Anda

oleh Donna Pleis

Dengan penjagaan gigi yang lazim dan tabiat harian yang baik, gigi anda mungkin kekal sihat seumur hidup. Walau bagaimanapun, apabila usia anda semakin meningkat, perubahan semula jadi dalam mulut dan kesihatan am anda boleh membawa risiko masalah pergigian. Mengetahui kerentanan yang datang dengan peningkatan usia membolehkan anda melakukan apa yang perlu secara berkesan untuk menjaga kesihatan mulut anda dan mencegah komplikasi pergigian ini.

Risiko bagi Kereputan Gigi dan Akar

Golongan warga emas sering mengalami masalah mulut kering disebabkan keadaan yang memerlukan rawatan atau ubat-ubatan yang mempunyai kesan sampingan. Ini termasuk rawatan kanser atau penggunaan ubat-ubatan kardiovaskular. Walau apa pun yang menyebabkan mulut anda kering, air liur membantu meneutralkan bakteria dan asid yang lama-kelamaan boleh merosakkan gigi anda.

Jika anda seorang warga emas yang mengalami penyusutan gusi, ambil maklum bahawa permukaan akar yang terdedah adalah lebih lembut daripada enamel gigi, dan dengan itu reput dengan lebih cepat lagi. Menurut Oral Health America, akar yang reput boleh mencapai bahagian saraf gigi anda dengan cepat dan menyebabkan jangkitan, atau dalam kes yang teruk, menyebabkan gigi terputus sepenuhnya daripada akar.

Di peringkat ini , anda mungkin ada tampalan di dalam mulut anda yang mungkin sudah sampai masanya untuk diganti. Pereputan mudah bermula di bawah tampalan gigi yang retak, terserpih atau bocor, jadi anda perlu memastikan lawatan pergigian secara berkala, walaupun anda tidak berasa sakit.

Risiko bagi Penyakit Gusi

Menurut Academy of General Dentistry, penyakit gusi yang teruk menjejas 25 peratus orang dewasa berumur antara 65 hingga 74 tahun. Jika tidak dirawat, ini boleh menyebabkan gingivitis (keradangan gusi) dan masalah yang lebih serius, iaitu periodontitis (keradangan tulang di sekitar gigi anda). Pesakit diabetes, yang paras gula darahnya boleh menjadikan mereka lebih mudah dijangkiti, juga berisiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit periodontium (gusi).

Jika anda telah mencabut satu atau dua gigi dalam tahun-tahun yang lepas, ingat: Tiada had umur untuk anda menggantikannya. Kehilangan gigi boleh menyebabkan gigi di sekelilingnya menjadi renggang dan mewujudkan ruang di sekitar garisan gusi yang boleh mengumpul makanan dan bakteria, menjadikannya tempat yang sesuai untuk jangkitan gusi bermula.

Jaga Kesihatan Mulut Anda

Pemeriksaan berkala dengan doktor gigi anda boleh memastikan anda mendahului masalah pergigian yang bakal berlaku. Pembersihan profesional ini diperlukan untuk membuang plak dan tartar dari gigi anda yang boleh membawa kepada penyakit periodontium. Ketika di rumah, berus gigi anda dua kali sehari dengan berus lembut. Jika artritis mengehadkan keupayaan anda untuk melakukannya, tanya doktor gigi anda tentang alat bantu pergigian khas yang dapat memudahkan amalan memberus gigi. Pembersih antara gigi (interdental) dan pemegang flos juga boleh didapati jika anda menghadapi kesukaran memflos antara setiap gigi setiap hari.

Jika anda berisiko lebih tinggi untuk masalah kesihatan tertentu, pertimbangkan untuk menggunakan produk yang disediakan khas untuk keadaan tersebut. Ubat gigi berfluorida boleh membantu menguatkan enamel gigi anda.

Tabiat Baik Yang Lain

Penjagaan mulut tidak perlu terbatas di kerusi doktor gigi dan bilik mandi. Atasi masalah mulut kering dengan pengambilan air yang mencukupi. Gunakan produk air liur tiruan dan kunyah gula-gula getah tanpa gula. Dan berbincang dengan doktor gigi anda tentang sebarang ubat yang anda ambil yang boleh menyebabkan mulut kering.

Sepertimana yang doktor anda mungkin telah nasihatkan, makan makanan yang sihat dengan kandungan gula yang rendah dan serat yang tinggi. Tapak Mouth Healthy Persatuan Pergigian Amerika (ADA) mencadangkan bahawa warga emas memerlukan 1,000 miligram kalsium sehari daripada produk tenusu rendah lemak untuk mencegah osteoporosis, yang boleh menjejaskan tulang di sekitar gigi anda.

Akhir sekali, kurangkan risiko anda untuk mendapat kanser mulut. Disebabkan kanser mulut biasa berlaku dalam kalangan warga emas, Institut Penyelidikan Pergigian dan Kraniofasial Kebangsaan(NIDCR) mengesyorkan penyingkiran tembakau dan produk beralkohol, menjauhi matahari atau memakai pelindung matahari, serta meminta doktor gigi memeriksa mulut anda untuk tanda-tanda kanser mulut.

Mark Twain pernah berkata, "Age is an issue of mind over matter. If you don't mind, it doesn't matter." Maksudnya, umur tidak perlu menjadi batasan kerana kemampuan anda terpulang pada kesungguhan anda. Jadi, bersungguh-sungguhlah dalam menjaga kesihatan mulut yang baik apabila usia anda semakin meningkat. Dengan memahami risiko pergigian yang seiring dengan proses penuaan, anda dan doktor gigi anda boleh bekerjasama untuk mencegah masalah kesihatan mulut supaya gigi anda kekal sihat seumur hidup.