Kesihatan Mulut Untuk Warga Emas

Kesihatan Mulut Untuk Warga Emas

Bagaimanakah Saya Mengekalkan Kesihatan Mulut yang Baik Apabila Tua?

Gigi anda boleh tahan seumur hidup dengan rutin penjagaan yang betul di rumah dan pemeriksaan gigi secara berkala. Tidak kira umur anda, anda boleh memastikan gigi dan gusi anda kekal sihat dengan memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi fluorida, memflos gigi setiap hari dan berjumpa doktor gigi secara berkala untuk pembersihan dan pemeriksaan profesional.

Apakah Isu-Isu Kesihatan Mulut Khas yang Harus Saya Tahu sebagai Warga Emas?

Walaupun anda selalu memberus dan memflos gigi, anda mungkin menghadapi isu-isu tertentu yang berkaitan dengan kesihatan mulut anda apabila usia anda semakin meningkat. Antara isu-isu yang dihadapi oleh kebanyakan warga emas ialah memakai gigi palsu, mengambil ubat-ubatan dan masalah kesihatan am. Nasib baik, doktor gigi dan pakar perubatan anda boleh membantu anda menangani kebanyakan cabaran ini dengan jayanya.

  • Kaviti dan pereputan pada permukaan akar gigi lebih lazim berlaku dalam kalangan warga emas. Jadi adalah penting bagi anda untuk memberus gigi dengan ubat gigi fluorida, memflos gigi setiap hari dan berjumpa doktor gigi anda secara berkala.
  • Kepekaan (sensitiviti) boleh menjadi masalah yang semakin ketara dengan peningkatan usia seseorang. Secara semulajadi, gusi anda akan susut dengan laluan masa dan ini mendedahkan bahagian gigi yang tidak dilindungi oleh enamel. Bahagian yang tidak terlindung ini lebih cenderung untuk sakit apabila makanan atau minuman panas atau sejuk diambil. Dalam kes-kes yang teruk, sensitiviti terhadap minuman dan makanan yang masam dan manis serta udara sejuk juga boleh berlaku. Jika anda mengalami sensitiviti, cuba gunakan ubat gigi anti-sensitiviti. Jika masalah ini berterusan, jumpa doktor gigi anda, kerana sensitiviti mungkin melibatkan keadaan yang lebih serius, seperti gigi berlubang (kaviti) ataupun gigi retak atau patah.
  • Mulut kering merupakan masalah biasa dalam kalangan warga emas, yang mungkin disebabkan oleh ubat-ubatan atau gangguan perubatan tertentu. Jika tidak dirawat, mulut kering boleh merosakkan gigi anda. Doktor gigi anda boleh mengesyorkan pelbagai kaedah untuk mengembalikan kelembapan dalam mulut anda, serta rawatan atau ubat yang sesuai untuk membantu mencegah masalah yang berkaitan dengan mulut kering.
  • Masalah kesihatan sedia ada seperti diabetes, penyakit jantung atau kanser boleh menjejaskan kesihatan mulut anda. Pastikan anda memaklumkan doktor gigi anda tentang sebarang masalah kesihatan umum yang anda hadapi, supaya beliau memahami keadaan keseluruhannya dan dapat membantu anda mengikut keperluan anda yang tertentu.
  • Walaupun gigi palsu menjadikan hidup lebih mudah untuk ramai warga emas, ia perlu dijaga dengan baik. Ikuti arahan doktor gigi anda dengan teliti dan jumpa doktor gigi anda jika terdapat sebarang masalah. Pemeriksaan tahunan adalah disyorkan untuk pemakai gigi palsu jangka panjang.
  • Penyakit gusi adalah keadaan yang berpotensi menjadi serius dan boleh menjejaskan semua golongan umur, namun lebih khususnya dewasa melebihi umur 40 tahun. Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan keterukan penyakit gusi. Ini termasuk:
  • Diet yang buruk
  • Kebersihan mulut yang kurang baik
  • Penyakit sistemik, seperti diabetes, penyakit jantung dan kanser.
  • Faktor persekitaran seperti: tekanan dan merokok
  • Ubat tertentu yang boleh menjejaskan keadaan gusi

Disebabkan peringkat awal penyakit gusi boleh diperbaik semula, adalah penting untuk mengesannya sejak awal lagi. Pemeriksaan pergigian secara berkala boleh menjamin pengesanan dan rawatan awal penyakit gusi. Paling baik, dengan amalan kebersihan mulut yang sewajarnya, penyakit gusi dapat dicegah dengan mudah.

  • Korona dan jambatan digunakan untuk menguatkan gigi yang rosak atau menggantikan gigi yang hilang. Korona digunakan untuk menutup sepenuhnya atau "melitupi" (cap) gigi yang rosak. Selain menguatkan gigi yang rosak, korona boleh digunakan untuk meningkatkan penampilan, bentuk atau penjajarannya. Jambatan biasanya digunakan untuk menggantikan satu atau lebih gigi yang hilang. Ia merentangi ruang di tempat gigi yang hilang. Jambatan disimen pada gigi asli atau implan di sekitar ruang kosong.

11/15/2010

 

 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.