Cara melegakan gusi bengkak dan gigi bengkak - colgate

Bengkak Gigi: Punca Dan Cara Melegakan Ketidakselesaan

Pernahkah anda merasakan bengkak pada gigi dan gusi anda? Bengkak gigi boleh menyakitkan dan mungkin serius, kerana selalunya disebabkan oleh jangkitan bakteria. Di sini, kami akan melihat punca bengkak gigi, perkara yang perlu dilakukan jika anda mengalaminya, dan cara untuk melegakan ketidakselesaan anda.

Perlu diingat bahawa anda harus menghubungi pakar gigi anda dengan segera jika anda mengalami sebarang tanda bengkak gigi. Jika anda tidak dapat menghubungi pakar gigi anda dan bengkak gigi anda disertai dengan demam dan bengkak pada muka anda, sila lawati bilik kecemasan.

Punca Bengkak Gigi dan Gusi yang Mungkin

Sama ada kes anda ringan atau teruk, ini mungkin disebabkan oleh salah satu sebab berikut:

Abses gigi:  Abses gigi, yang disebabkan oleh jangkitan bakteria, boleh berlaku pada hujung akar (periapeks) atau pada sisi akar gigi (periodontal). Abses dipenuhi dengan nanah dan biasanya disebabkan oleh kaviti, kecederaan atau rawatan pergigian kerana retakan menyediakan laluan untuk bakteria masuk dan menjangkiti gigi. Gejala abses gigi termasuk:

  • Sakit gigi berdenyut yang mungkin anda rasai pada leher, telinga atau tulang rahang anda
  • Nodus limfa bengkak berhampiran dengan rahang anda atau pada leher anda
  • Demam
  • Kepekaan terhadap suhu panas dan sejuk
  • Bengkak pada muka dan leher anda
  • Kepekaan semasa menggigit atau mengunyah

Mengalami jangkitan yang bengkak dan menyakitkan tidak menyeronokkan. Jika anda tertanya-tanya cara merawat abses atau cara menghilangkan muka bengkak akibat jangkitan gigi, anda perlu mendapatkan rawatan perubatan. Walaupun abses kering dengan sendirinya, anda masih perlu berjumpa dengan doktor gigi anda bagi memastikan jangkitan tidak merebak. Rawatan mereka akan melibatkan langkah menangani jangkitan, yang bermaksud mengeringkan abses. Mereka juga mungkin mempreskripsikan antibiotik. Dalam sesetengah kes, mereka mungkin perlu mencabut gigi atau melakukan saluran akar.

Kerengsaan gigi bongsu: Pertumbuhan dan letusan gigi bongsu ialah proses semula jadi. Walau bagaimanapun, kadangkala perubahan ini boleh menyebabkan bengkak gigi. Gigi bongsu boleh menyebabkan bengkak sekiranya terhimpit, bermaksud gigi terperangkap di bawah gusi anda. Jika gigi bongsu tumbuh, ini mungkin mewujudkan ruang di mana bakteria boleh menjangkiti gusi, lalu menyebabkan bengkak dan kesakitan. 

Anda mungkin tertanya-tanya cara merawat gusi bengkak berhampiran dengan gigi bongsu, dan selalunya jawapannya ialah pencabutan. Selepas gigi bongsu dicabut, bengkak mungkin sekali lagi tampak ketara di kawasan gusi dan gigi apabila mulut anda sembuh. Untuk melegakan ketidakselesaan dan melawan sebarang bakteria, pastikan anda berkumur dengan air garam suam setiap beberapa jam. Pek ais yang ditekap pada sisi mulut anda juga boleh mengurangkan kesakitan. Jika bengkak anda terasa seperti serius dan memerlukan rawatan perubatan, hubungi pakar gigi anda dengan segera.

Gingivitis: Gingivitis ialah satu bentuk awal penyakit gusi. Keadaan ini ialah punca biasa gusi bengkak, merah dan merengsa yang mungkin berdarah selepas anda memberus gigi. Mujurlah, gingivitis boleh ditangani di rumah dengan penjagaan mulut yang sangat baik, mengehadkan makanan ringan dan minuman manis, dan menghentikan penggunaan tembakau. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami gejala gingivitis, anda masih perlu menghubungi pakar gigi anda untuk menjalankan pemeriksaan dan rawatan menyeluruh. 

Kekurangan Vitamin C: Tahukah anda bahawa penyakit skurvi, yang menjadi terkenal kerana kisah kelasi dahulu kala, hanyalah istilah untuk kekurangan Vitamin C? Kekurangan Vitamin C boleh menyebabkan bengkak di sekitar gigi. Mujurlah, penyelesaiannya adalah makan lebih banyak buah sitrus yang lazat seperti oren dan limau gedang. Tambahan vitamin C juga boleh membantu. Jika anda fikir anda mungkin mengalami kekurangan Vitamin C, berbincanglah dengan pakar gigi dan perubatan anda kerana mereka boleh menentukan jumlah yang perlu anda tambah pada diet anda. 

Ubat-ubatan dan Punca Lain: Ubat-ubatan tertentu juga boleh memberikan kesan sampingan bengkak gigi. Jika anda mendapati ubat gigi atau ubat kumur anda merengsakan gigi dan gusi anda, hentikan penggunaan sehingga anda berjumpa dengan penyedia penjagaan kesihatan anda.

Rawatan dan Melegakan Sakit untuk Bengkak Gigi

Jika anda mengalami bengkak, langkah pertama adalah menghubungi pakar gigi anda. Mereka akan dapat menentukan punca gusi dan gigi anda bengkak serta mengesyorkan rawatan terbaik. Walau bagaimanapun, anda boleh berkumur dengan air garam suam di rumah yang akan membantu menyingkirkan bakteria. Ubat pelega kesakitan tanpa preskripsi seperti asetaminofen dan ibuprofen juga boleh membantu mengurangkan bengkak dan kesakitan. 

Mulut anda penuh dengan bakteria, malah orang yang kerap memberus gigi boleh mengalami gigi bengkak. Oleh itu, penjagaan mulut yang sangat baik masih penting untuk mencegah bengkak di dalam mulut anda. Ini bermakna memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi fluorida dan membersihkan celah gigi anda setiap hari dengan flos, pemflos air atau peranti pembersihan antara gigi yang lain. 

Tidak seperti lebam atau luka ringan pada kulit anda, bengkak di dalam mulut berhampiran dengan gigi anda boleh menjadi isu yang teruk dan harus ditangani sedemikian. Doktor gigi boleh mempreskripsikan antibiotik dan ubat-ubatan yang tidak hanya akan merawat kesakitan tetapi menyasarkan jangkitan. Malah, lebih cepat anda mendapatkan rawatan, lebih cepat anda boleh menghilangkan sakit bengkak gigi anda dan kembali kepada senyuman yang sihat, yakin dan bebas kesakitan. 

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.