Pentingnya X-Ray Gigi

Pentingnya X-Ray Gigi

Apabila anda mendengar perkataan "X-ray", terdapat kecenderungan untuk membayangkan seorang kanak-kanak duduk menunggu di luar Bilik Kecemasan (ER) untuk melihat sama ada dia mengalami patah tulang akibat bermain sukan atau bergurau kasar. Namun, X-ray tidak kurang pentingnya bagi doktor gigi berbanding pentingnya bagi pakar ortopedik. X-ray gigi amat berharga kepada mana-mana doktor gigi dalam pengekalan kesihatan mulut yang baik ketika merawat pesakit. Berikut adalah segala tentangnya dan bagaimana doktor gigi menggabungkannya dalam amalan mereka.

oleh Steve Auger

 

X-Ray

Doktor gigi anda memeriksa segala aspek gigi dan gusi anda secara visual semasa pemeriksaan biasa. Walau bagaimanapun, menurut Persatuan Pergigian Amerika (ADA), X-ray gigi adalah alat diagnostik yang membolehkan doktor gigi anda mengukur kesihatan mulut anda melalui faktor-faktor yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. X-ray, yang juga dipanggil radiograf, boleh mendedahkan isu-isu biasa seperti gigi berlubang, kerosakan gigi dan penyakit periodontium, sehinggalah masalah yang lebih kompleks seperti jangkitan rahang dan sista mulut. Namun, X-ray bukan hanya untuk orang dewasa. Doktor gigi mengambil X-ray gigi kanak-kanak atas beberapa sebab yang sama seperti orang dewasa tetapi juga atas beberapa sebab yang berbeza.

Kanak-kanak dan Doktor Gigi

Matlamat doktor gigi adalah untuk membantu pesakitnya, sama ada orang dewasa atau kanak-kanak, mengamalkan serta mengekalkan kesihatan mulut yang baik. Kanak-kanak perlu memahami bahawa lawatan ke klinik pergigian adalah perkara yang baik. Tetapi sesetengah kanak-kanak mempunyai ketakutan yang tidak rasional untuk melawat doktor gigi. Di sinilah ibu dan ayah memainkan peranan mereka. Parents.com memberikan beberapa petua yang anda boleh gunakan untuk membantu anak anda mengurangkan ketakutannya berhubung pemeriksaan pergigian:

  • Mula membawa anak anda berjumpa doktor gigi sejak kecil lagi supaya lawatan ke klinik pergigian menjadi tempat yang biasa. Apabila gigi anak anda mula kelihatan atau apabila anak anda mencapai usia setahun, mana-mana satu yang lebih awal, anda harus menjadualkan pemeriksaan pertamanya.
  • Tanya doktor gigi jika anda boleh membawa anak anda untuk lawatan sebelum hari janji temunya yang sebenar. Ini akan membuatnya berasa selesa apabila dia melihat persekitaran dan bertemu dengan kakitangan klinik.
  • Jika anak anda gementar atau cemas semasa pemeriksaannya, pegang tangannya. Kata-kata yang menyakinkan daripada ibu atau ayah akan membantu menenangkannya.
  • Jadualkan janji temu anak anda dengan pakar kebersihan yang sama. Ini dapat membantu anak anda berasa lebih selesa.

Sebab-sebab untuk X-Ray Gigi Kanak-kanak

Si manja anda mungkin tertanya-tanya mengapa X-ray gigi diperlukan, terutamanya jika gigi susunya akan jatuh kelak. Beberapa sebab yang memerlukan X-ray untuk kanak-kanak berbeza daripada sebabnya untuk orang dewasa.

  • Mendedahkan bagaimana gigi susu tumbuh melalui gusi kanak-kanak.
  • Memerhatikan bilangan, saiz dan lokasi gigi yang belum tumbuh melalui gusi.
  • Menentukan sama ada anak anda mempunyai sebarang gigi tambahan atau gigi yang hilang.
  • Mengenal pasti jangkitan sedia ada dalam gigi baharu.
  • Bersedia untuk pendakap gigi, jika perlu.

Keselamatan X-Ray untuk Kanak-kanak

Walaupun hanya sedikit radiasi digunakan dalam X-ray kontemporari, sesetengah ibu bapa mungkin teragak-agak untuk membiarkan anak-anak mereka menjalani pemeriksaan ini. Jika anda berasa bimbang, jangan teragak-agak untuk memberitahu hal tersebut kepada doktor gigi anak anda. "Image Gently" mengesyorkan perkara-perkara berikut untuk mengurangkan pendedahan radiasi kepada kanak-kanak:

  • Kolar tiroid dan apron berplumbum sama seperti yang digunakan untuk orang dewasa.
  • Ambil X-ray berdasarkan keperluan berbanding rutin tahunan.
  • Lakukan X-ray dengan tempoh pendedahan yang sesuai untuk kanak-kanak.
  • Gunakan teknik terkini dan peralatan terbaru.

Cara terbaik mengekalkan mulut yang sihat bermula di rumah dengan ubat gigi seperti Colgate Total®. Namun, apabila tiba masanya untuk pemeriksaan gigi, X-ray memainkan peranan penting dalam membantu doktor gigi anda menyediakan rawatan yang terbaik mungkin untuk pesakit seperti anda. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan, jangan teragak-agak untuk membincangkannya dengan doktor gigi anda.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.