rawatan gusi berdarah - colgate my

Rawatan Gusi Berdarah

Anda memberus gigi anda. Anda memflos atau membersihkan celah gigi. Kemudian, anda mendapati gusi anda berdarah sedikit. Anda mungkin fikir ini bukan masalah besar (dan mungkin tidak), tetapi anda harus membuat pemeriksaan dengan pakar gigi anda. Gusi berdarah boleh menjadi permulaan gingivitis, dan itu boleh berakhir dengan penyakit gusi yang melarat. Berita baik: dengan rawatan yang betul, anda boleh menghalang hal ini daripada terjadi.

Apa itu Gingivitis?

Gingivitis ialah satu bentuk penyakit gusi ringan yang disebabkan oleh penumpukan plak (kadang-kadang disebut sebagai biofilem) pada gigi anda. Keadaan ini menyebabkan kemerahan, kerengsaan dan pembengkakan gusi di sekitar pangkal gigi anda.

Jika tidak dirawat, gingivitis boleh menjadi penyakit gusi yang boleh menyebabkan kehilangan gigi. Juruhigin pergigian melihat pendarahan, pembengkakan dan kerengsaan semasa membersihkan gigi. Ini boleh menjadi tanda-tanda gingivitis. Dengan rawatan oral yang betul dan rawatan susulan, anda boleh menyembuhkan kesan-kesan gingivitis.

Rawatan Profesional untuk Gusi Berdarah

Semasa janji temu, doktor gigi akan memeriksa kedudukan gigi, rahang dan rawatan anda yang lalu, seperti tampalan gigi, korona dan jambatan untuk menentukan sama ada terdapat masalah penjajaran yang menghalang anda daripada memberus atau memflos gigi dengan berkesan. Sekiranya terdapat masalah, doktor gigi akan memberikan cadangan rawatan atau strategi untuk mengatasinya.

Juruhigin pergigian anda akan menilai sama ada anda mengalami kemerosotan gusi melalui pemeriksaan periodontal (mengukur kedalaman tisu gusi). Pemeriksaan ini akan diulang semasa janji temu untuk melihat sama ada kesihatan gusi bertambah baik atau merosot.

Juruhigin pergigian anda akan melakukan prosedur memberus dan pembersihan celah gigi yang betul untuk membantu anda meningkatkan penjagaan mulut di rumah. Janji temu susulan, pemeriksaan dan pembersihan penting untuk memantau dan memulihkan penyakit gusi.

Rawatan Gusi Berdarah di Rumah

  • Berus dan bersihkan celah gigi dengan lebih teliti dan kerap. Ikuti arahan daripada juruhigin pergigian anda. Rutin penjagaan gigi yang baik dapat membantu membuang bakteria daripada mulut anda yang boleh mengakibatkan radang gusi. Malah, dapat membantu menyembuhkan penyakit gusi tahap awal. Berus gigi dengan berus bulu lembut dan bersihkan gigi anda dengan kerap. Berus dua kali sehari dan bersihkan celah gigi anda sekurang-kurangnya sekali sehari.
  • Gunakan kumuran antiseptik. Pakar gigi anda mungkin mencadangkan untuk menambahkan kumuran antiseptik ke dalam rutin penjagaan anda di rumah. Kumuran antimikrob tidak sahaja dapat membantu mengatasi gingivitis, malah kumuran yang mengurangkan dan menghilangkan bakteria di dalam mulut anda juga dapat mencegah radang dan gusi berdarah. Pastikan anda memeriksa dan mengesahkan bahawa kumuran anda mempunyai Meterai Penerimaan ADA.
  • Ambil makanan seimbang. Makanan yang sihat meningkatkan kesihatan mulut dengan memberikan nutrien yang baik kepada gusi anda. Maksudnya, makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dan kurangkan makanan bergula termasuk roti kilang.
  • Pantau tekanan. Kebimbangan boleh menjejaskan kesihatan mulut anda. Tekanan boleh meningkatkan keradangan dalam badan anda yang akhirnya boleh menyebabkan gusi anda mudah berdarah. Tekanan juga mengurangkan fungsi sistem imun anda. Ini menyukarkan badan anda melawan jangkitan. Selain itu, tekanan membuat anda kurang cenderung untuk menjaga diri sendiri, sekali gus anda pasti kurang memberus gigi.
  • Jangan Merokok. Atas banyak sebab, merokok tidak baik untuk kesihatan anda. Ini termasuklah gigi dan gusi. Menurut CDC, merokok melemahkan sistem imun anda, menjadikan badan anda lebih sukar untuk melawan penyakit gusi.
  • Jangan berkongsi gelas minum atau berus gigi. Penyakit gusi dan gusi berdarah ialah penyakit berjangkit. Sekiranya pasangan anda mempunyai banyak bakteria di dalam mulutnya, anda semakin berisiko mengalami masalah gusi.

Jika anda mendapati gusi berdarah, sangat penting untuk berjumpa dengan pakar gigi anda. Jika tidak dirawat, gusi berdarah boleh menyebabkan gingivitis dan penyakit gusi yang lebih teruk. Sebaiknya, dapatkan diagnosis bagi masalah anda dengan segera. Terdapat prosedur di pusat rawatan dan perkara yang boleh anda lakukan di rumah untuk membantu mengatasi penyakit gusi dan meningkatkan kesihatan mulut anda.