Cara membersihkan karang gigi dengan selamat - colgate

Bolehkah Anda Membuang Tartar Di Rumah?

Siapa yang tidak berharap yang penjagaan di rumah sudah memadai untuk mendapat gigi yang putih sempurna? Malangnya, untuk isu lazim seperti penumpukan plak, harian rutin kesihatan mulut anda hanyalah sebahagian daripada penjagaan gigi. Mari kita kaji perihal plak dan tartar, peranan yang boleh anda mainkan dalam mencegah penumpukan dan sebab mendapatkan rawatan pakar pergigian ialah pilihan yang paling selamat dan bijak.

Plak, iaitu bahan bakteria dan gula yang melekit, boleh mengeras dan bertukar menjadi tartar, juga dikenali sebagai kalkulus gigi. Tartar boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mulut anda, jadi pencegahan adalah penting.

Bolehkah Anda Membuang Tartar Di Rumah?

Anda mungkin tertanya-tanya cara untuk membuang tartar tanpa doktor gigi, namun sebaiknya dapatkan khidmat daripada pakar gigi untuk mendapatkan hasil yang kemas dan tepat! Setelah plak mengeras menjadi tartar, berus gigi tidak dapat membuang plak tersebut. Anda mungkin mahu "lakukan sendiri" dengan menggunakan produk penyingkiran tartar seperti kit alat pergigian atau rawatan "semula jadi", seperti strawberi, cuka, atau biji bijan. Walaupun bahan dan produk ini tersedia di mana-mana kedai runcit atau farmasi tempatan, kami mengesyorkan agar anda berbincang dengan doktor gigi anda tentang pembuangan tartar dan bukannya mencuba kaedah di rumah.

Cara Tartar Mempengaruhi Kesihatan Mulut

Apabila tartar menumpuk pada gigi dan di sepanjang garis gusi, keadaan kesihatan mulut boleh berkembang. Tartar menyediakan kawasan berliang pada gigi anda untuk plak melekat di situ. Semasa penumpukan berlaku, maka bermulalah kitaran plak melekat pada tartar yang menghasilkan lebih banyak tartar. Memandangkan plak boleh mengakibatkan keadaan seperti penyakit gusi dan kaviti, sebaiknya jangan biarkan kitaran "plak kepada tartar" ini berlaku. Apabila tartar menumpuk di sekitar garis gusi, ini boleh menyebabkan keradangan dan pendarahan gusi. Ini ialah gingivitis, peringkat awal penyakit gusi. Tartar juga boleh menimbulkan masalah penampilan. Oleh sebab tartar ialah bahan penyerap, tartar boleh menyerap noda dengan cepat. Ini bermakna bahawa mengambil minuman berpigmen seperti teh atau kopi boleh menggelapkan gigi anda, lantas menyebabkan gigi menjadi kekuningan. Tiada sesiapa pun yang mahu risau akan rupa gigi mereka semasa menikmati minuman kegemaran mereka!

Tanda-tanda Penumpukan Tartar

Ketika menentukan sama ada anda mempunyai penumpukan tartar, anda berkemungkinan besar akan menyedari hal ini melalui rasa tekstur gigi anda. Tartar berasa seperti bahan kasar di dalam mulut yang tidak dapat dibuang menggunakan berus sahaja. Apabila tartar muncul di bawah garis gusi, ini boleh menyebabkan bengkak timbul yang mungkin berdarah. Penumpukan di atas garis gusi berwarna kuning atau sawo matang dan bertambah jika tidak dibuang. Di bawah garis gusi, tartar mungkin berwarna perang atau hitam.

Cara Mencegah Penumpukan Tartar

Seperti banyak masalah pergigian lain, penyelesaian biasanya bergantung pada pencegahan! Sebelum melarat ke peringkat penumpukan tartar yang perlu dibuang oleh pakar gigi, anda boleh mengambil langkah pencegahan terlebih dahulu. Walaupun anda tidak dapat membuang tartar dengan selamat di rumah, dengan rutin kebersihan mulut yang bagus, penyingkiran plak boleh dilakukan dengan mengikuti langkah berikut:

  • Berus gigi anda dua kali sehari menggunakan berus gigi bulu lembut.
  • Memandangkan berus gigi anda tidak dapat mencapai semua permukaan gigi dan gusi anda, jangan lupa flos (juga dikenali sebagai pembersihan antara gigi) gigi sekali sehari juga. Jika anda menghadapi masalah menggunakan flos tradisional, berbincang dengan juruhigin pergigian anda tentang alat alternatif, seperti berus antara gigi.
  • Berkumur dengan menggunakan ubat kumur berfluorida selepas memberus untuk membuang sebarang penumpukan bakteria yang anda terlepas.

Walaupun anda mempunyai tabiat memberus dan memflos gigi yang sangat baik, anda masih perlu berjumpa dengan pakar gigi untuk menjalani pemeriksaan berkala. Semasa janji temu ini, mereka akan membuang sebarang plak yang terlepas daripada rutin penjagaan mulut anda di rumah.

Mengapa Pakar Gigi Adalah Terbaik

Lebih banyak pendidikan dan latihan khusus diperlukan daripada yang anda mungkin sedar untuk membuang tartar. Seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, para jururawat pergigian biasanya belajar selama sekurang-kurangnya tiga tahun untuk membersihkan gigi dengan betul. Selain itu, terdapat juga diploma jururawat pergigian.

Tanpa mengambil kira aspek pendidikan, seseorang yang memasukkan alat tajam atau tidak sesuai ke dalam mulut mereka boleh merosakkan gigi atau gusi mereka dengan mudah. Walaupun anda mungkin menganggap bahawa anda mengetahui mulut anda lebih baik daripada orang lain, pakar gigi anda sepatutnya menjadi orang yang bertanggungjawab untuk membuang tartar dengan selamat. Hanya mereka yang dapat membuang penumpukan tartar pada gigi dengan jayanya. Mereka melakukan kerja ini melalui satu proses menggunakan alat penskaleran manual yang dipanggil penskaleran atau menggunakan peranti ultrasonik.

Jangan biarkan kemampuan menjadi sebab anda tidak mahu mendapatkan bantuan pakar. Jika kos menjadi kebimbangan, terdapat banyak pilihan pergigian yang berpatutan, seperti fakulti pergigian dan kebersihan pergigian. Di kemudahan klinik ini, pelajar yang diselia menyediakan penjagaan kos rendah untuk meraih pengalaman klinikal.

Dengan pencegahan rutin kebersihan mulut harian di rumah yang betul serta kerap berjumpa doktor gigi dan juruhigin pergigian anda untuk menjalani pemeriksaan, anda tidak akan tertanya-tanya lagi cara untuk membuang tartar anda!

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.