Halitosis yang juga dikenali sebagai nafas berbau, ialah satu masalah yang memalukan dan tidak diinginkan oleh sesiapa. Namun kebanyakan daripada kita pernah mengalaminya. Untuk mengetahui cara menyembuhkan nafas berbau, kita harus terlebih dahulu memahami puncanya.
Mulut dipenuhi dengan bakteria, dan nafas berbau biasanya disebabkan oleh mulut yang kurang bersih. Makanan sering terperangkap di antara celah-celah gigi dan sepanjang garis gusi yang menjadi tempat pembiakan bakteria. Apabila kawasan ini tidak dibersihkan, nafas berbau boleh terjadi. Satu lagi penyebab nafas berbau ialah makanan yang berbau kuat, misalnya bawang putih, bawang merah dan minuman alkohol. Makanan jenis ini menghasilkan bau mulut yang kurang menyenangkan, dan sebahagian daripadanya akan diserap oleh badan anda dan memasuki saluran darah, seterusnya menyebabkan anda menghembus nafas berbau menerusi paru-paru. Nafas berbau juga mungkin merupakan petanda penyakit yang serius, misalnya kencing manis, kegagalan fungsi hati atau penyakit buah pinggang.
Ketahui cara mengatasi nafas berbau mengikuti beberapa petua mudah ini:
Sentiasa memberus dan memflos gigi.
Untuk hasil yang terbaik, sekurang-kurangnya berus gigi anda dua kali sehari dan flos sekali sehari. Ini dapat menanggalkan makanan dan bakteria yang terperangkap di antara celah-celah gigi dan sepanjang garis gusi anda dengan berkesan.