cara hilangkan bau mulut - colgate my
Badge field

Cara Menghilangkan Bau Mulut Remaja

Published date field Terakhir dikemaskini:

Mulut berbau ialah masalah biasa untuk remaja dan boleh menyebabkan rasa malu dalam persekitaran sosial. Rawatan bermula dengan memahami puncanya supaya anda boleh mengetahui cara untuk menangani bau mulut mereka dan mencegahnya daripada berlaku sekali lagi.

Nafas berbau, juga dikenali sebagai halitosis mempunyai pelbagai punca. Menurut Persatuan Pergigian Amerika, ini termasuklah:

  • Penyakit mulut
  • Makanan
  • Rokok dan tembakau
  • Mulut kering
  • Masalah perubatan seperti resdung, bronkitis dan kencing manis

Amalkan Kebersihan Mulut Yang Baik

Seperti yang dijangkakan, kebanyakan nafas berbau bermula di mulut. Jadi, cara yang paling mudah untuk merawat atau mencegah halitosis ialah dengan memberus dan memflos gigi. Malangnya, ramai remaja tidak membersihkan mulut dengan cukup bersih untuk menikmati manfaat amalan penjagaan kebersihan mulut. Untuk menanggalkan plak melekit yang menggalakkan pembiakan bakteria dan makanan terperangkap, mereka perlu memberus gigi paling kurang dua minit, dua kali sehari selain memflos gigi sekali sehari. Lidah juga perlu dibersihkan dengan baik, kerana ia adalah punca biasa mulut berbau. Ingat bahawa ubat kumur boleh membantu mencegah mulut berbau, tetapi ia hanya menghapuskan masalah ini secara sementara.

Lawatan ke Doktor Gigi untuk Jangkitan

Apabila remaja tidak menjaga kebersihan mulut dengan baik, jangkitan boleh berlaku dan menyebabkan bau yang tidak menyenangkan. Bakteria di dalam mulut boleh menyumbang kepada jangkitan yang berlaku di sekitar gigi bongsu apabila ia timbul, atau menghasilkan gigi berlubang pada gigi yang lain. Gabungan bakteria dan perubahan hormon juga boleh meninggikan risiko remaja untuk mengalami jangkitan gusi. Hanya doktor gigi boleh menentukan sekiranya terdapat sebarang jangkitan. Walaupun penjagaan kebersihan mulut diamalkan setiap hari, anda patut melawat doktor gigi setiap enam bulan untuk pemeriksaan gigi dan pembersihan profesional untuk mengekalkan kesihatan mulut. Setelah punca halitosis ditentukan, pengesyoran boleh dibuat tentang cara untuk menangani nafas berbau.

Pilihan Makanan

Sebarang jenis makanan boleh menghasilkan bakteria yang menyebabkan bau busuk, tetapi remaja sering memakan makanan bergula, yang menambahkan lapisan plak yang melekit pada gigi dan mendorong pengumpulan bakteria setelah sekian lama. Ini meningkatkan risiko mereka untuk kerosakan gigi yang kemudian meningkatkan risiko nafas berbau. Hadkan pengambilan gula-gula dan gantikan dengan buah atau sayuran untuk meningkatkan penghasilan air liur yang membantu membersihkan bakteria dan cebisan makanan sebelum ia menjadi suatu masalah.

Pendakap Gigi (Braces) dan Retainer

Rawatan ortodontik adalah biasa untuk remaja, dan ini bermakna ia lebih sukar untuk memberus gigi. Pendakap gigi yang menghalang keupayaan anak remaja anda untuk memberus dan memflos dengan efektif boleh menyebabkan plak dan makanan berbau terperangkap di celah-celah gigi yang sukar dicapai. Setiap sudut pendakap gigi harus dibersihkan. Retainer yang boleh ditanggalkan juga harus dibersihkan dengan teliti setiap kali mereka memberus gigi. Tanya doktor gigi anda untuk mengetahui teknik pembersihan yang paling berkesan.

Berhenti Merokok

Bagi remaja yang merokok, rokok dan produk tembakau yang lain adalah penyumbang utama bau mulut. Selain menjejaskan kesihatan, rokok meninggalkan bau kuat dan kurang menyenangkan yang pasti dikenali semua. Asap tembakau memasuki paru-paru dan dihembus dengan setiap nafas, jadi bau khusus ini tidak boleh dihapuskan dengan memberus gigi atau ubat kumur. Oleh itu, buang tabiat ini jika anda ingin menyegarkan nafas dan kekal sihat.

Elakkan Mulut Kering

Tabiat merokok juga boleh menyebabkan mulut kering, yang membolehkan bakteria membiak seterusnya menyebabkan nafas berbau. Mulut kering juga boleh disebabkan oleh ubat preskripsi yang digunakan untuk merawat penyakit seperti selesema, namun demikian menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, ini tidak biasa untuk anak remaja yang meluangkan kebanyakan masa dengan rakan sebaya. Air liur membantu membersihkan mulut dengan menanggalkan cebisan makanan, dan terdapat pelbagai produk yang boleh membantu meningkatkan penghasilan kelembapan yang diperlukan ini. Contohnya, ubat gigi, ubat kumur, semburan atau gula-gula getah. Sebelum menggunakan produk yang memulihkan mulut kering, anda patut mendapatkan nasihat doktor gigi terlebih dahulu.

Dapatkan Nasihat Pakar Perubatan

Sekiranya doktor gigi anda telah mengecualikan masalah pergigian sebagai penyebab potensi halitosis, dan menentukan bahawa mulut anda adalah sihat walaupun masih berbau, anda patut berjumpa seorang pakar perubatan. Masalah perubatan yang boleh menyebabkan nafas berbau termasuk jangkitan sistem pernafasan, dan keradangan sinus, paru-paru atau tekak. Penyakit lain yang boleh menyebabkan halitosis termasuk kencing manis, penyakit hati dan buah pinggang yang tertentu.

Pastikan untuk mengamalkan tabiat yang sihat untuk mengurangkan, menghapuskan atau mencegah mulut berbau sebelum ia berlaku. Sekiranya ini berterusan dan anda mengesyaki sesuatu masalah, pastikan untuk melawat doktor gigi anda untuk menentukan sama ada anda mengalami masalah pergigian atau perubatan yang lebih serius.

Perihal penulis: Dianne L. Sefo ialah seorang pakar kebersihan gigi dan pendidik pakar kebersihan gigi. Beliau terlibat dalam pelbagai penerbitan, mempunyai pengalaman di klinik swasta di New York dan California Selatan dan memegang jawatan sebagai ahli fakulti di Monroe Community College, Concorde Career College - San Diego dan New York University.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.