Jika anda perasan bahawa nafas anda semakin teruk seiring usia anda yang meningkat, jangan risau kerana anda tidak bersendirian. Mengekalkan nafas yang segar hanya memerlukan usaha lebih... anda akan menjadi... lebih menawan. Jadi mengapa warga emas mempunyai nafas berbau? (Atau halitosis, jika anda ingin tahu istilah teknikal.) Pelbagai kemungkinan punca berkisar daripada seperti diet kepada kebersihan, dan kepada potensi masalah kesihatan yang mendasari. Kami akan mengupas kemungkinan penyebab nafas berbau supaya anda boleh mengecilkan kebarangkalian punca bau yang tidak diingini tersebut. Kemudian, anda mungkin menemukan penyelesaian dan anda boleh menghela nafas lega yang kuat dan segar.
Cara Mencegah Nafas Berbau Jika Anda Seorang Warga Emas
Apakah Punca Nafas Berbau?
Ia bukan sahaja yang tertua dan paling bijak dalam kalangan kita yang menghembus nafas dengan bau yang kurang disenangi. Nafas berbau ialah masalah peribadi dan agak memalukan bagi sesetengah orang. Jadi kami akan mulakan dengan menangani punca yang cenderung menjejaskan lebih ramai orang terlebih dahulu kerana hal ini mungkin memberikan penyelesaian yang paling mudah dan terpantas untuk anda.
Adakah anda mempunyai kesanggupan untuk berhenti makan makanan seperti bawang putih, bawang merah dan rempah tertentu? Adakah anda sanggup mengurangkan atau berhenti minum alkohol sepenuhnya? Atau berhenti mengunyah tembakau? Perkara ini ialah beberapa penyebab bau mulut yang paling biasa (dan sudah tentu alkohol dan tembakau boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan anda secara amnya). Satu-satunya penyelesaian sebenar kepada punca ini adalah mengelakkan punca tersebut.
Walau apa pun keputusan anda, cuba berpantang (sekurang-kurangnya untuk sementara) akan membantu anda menentukan punca nafas anda berbau. Katakan anda memutuskan bahawa bahan yang anda makan, minum atau sedut bukanlah punca bau mulut anda. Dalam kes itu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengatakan bahawa pelbagai keadaan kesihatan yang mendasari boleh menyebabkan halitosis. Pakar gigi anda ialah orang yang paling sesuai untuk mendiagnosis sebarang kemungkinan masalah kesihatan atau kebersihan.
Bagaimanakah Penyakit Periodontium Menyebabkan Nafas Berbau?
Penyakit periodontium adalah salah satu penyebab bau mulut kronik yang berkaitan dengan kesihatan, terutamanya dalam populasi yang semakin berusia. Penyakit periodontium banyak dialami oleh orang dewasa yang lebih berumur.
Penyakit periodontium biasanya terhasil daripada pengumpulan plak pada gigi dan gusi (juga dikenali sebagai penyakit gusi). Pakar gigi anda akan menyelesaikan masalah ini dengan cepat dengan membersihkan gigi anda dan membuang sebarang lapisan tartar yang anda mungkin ada supaya gusi anda boleh sembuh. Mereka mungkin akan mengesyorkan rutin kebersihan gigi yang ketat untuk anda patuhi di rumah demi memastikan gusi anda kekal sihat dan bebas bakteria.
Bagaimanakah Mulut Kering Menyebabkan Nafas Berbau?
Mulut kering (atau xerostomia jika anda mahu rakan anda kagum) adalah satu lagi punca nafas berbau yang lazim dalam populasi lanjut usia. Anda mungkin tertanya-tanya mengapa kekeringan di dalam mulut anda akan menimbulkan bau yang tidak menyenangkan. Mudah sahaja. Katakan anda tidak mempunyai air liur yang cukup untuk menghanyutkan zarah makanan. Dalam kes ini, zarah makanan boleh berkumpul pada gigi dan gusi anda lalu bakteria akan membiak.
Terdapat banyak sebab anda boleh mengalami xerostomia apabila anda semakin tua. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, peningkatan usia bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan mulut kering. Beberapa faktor berlakunya mulut kering yang berkaitan dengan peningkatan usia mungkin disebabkan oleh ubat yang anda ambil, kemoterapi, penyakit autoimun, diabetes atau ketagihan alkohol.
Walau apa pun puncanya, mengekalkan kelembapan dalam mulut anda boleh membantu mengelakkan bau yang tidak menyenangkan. Sesetengah warga emas menggunakan produk air liur tiruan, namun menghirup air atau menghisap lozeng tanpa gula sepanjang hari juga boleh membantu.
Bagaimanakah Gigi Palsu, Jambatan Tetap dan Separa Menyebabkan Nafas Berbau?
Jika anda memakai gigi gantian boleh tanggal, gigi gantian tersebut mungkin satu lagi punca yang menyebabkan nafas anda tidak sesegar yang anda harapkan. Makanan mungkin terkumpul pada celah-celah yang sukar dicapai, lantas membolehkan bakteria membiak. Rutin pembersihan gigi tiruan yang lebih ketat boleh mengelakkan mulut anda daripada sebarang bau yang tidak diingini.
Ketahui lebih lanjut tentang cara membersihkan gigi palsu dan mengelakkan pengumpulan bakteria di sini.
Sekarang anda sudah tahu punca halitosis yang paling biasa untuk warga emas, kami berharap anda dapat menentukan perkara yang menimbulkan sebarang masalah kepada anda dengan lebih baik. Selalunya, cara menghilangkan nafas berbau adalah semudah mengamalkan kebersihan mulut yang baik. Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari (jangan lupa memberus lidah anda), flos atau bersihkan celah gigi anda dengan berus antara gigi atau flos air sekurang-kurangnya sekali sehari dan pertimbangkan untuk menggunakan produk lain yang berguna seperti ubat kumur antimikrob dan pengikis lidah. Pastikan anda berjumpa doktor gigi anda untuk pembersihan berkala – bukan sahaja untuk memastikan gigi anda putih bak mutiara dan bebas bakteria tetapi juga untuk memastikan doktor gigi dapat mengekang kemungkinan masalah kesihatan tertentu. Walau apa pun sebab mulut anda berbau, ingat bahawa ada penyelesaian di luar sana yang akan membuatkan nafas and segar dan disenangi.
Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.