Penyebab Nafas Berbau

Apakah Punca Nafas Berbau?

Nafas berbau berpunca terutamanya dari kuman dan partikel makanan yang terperangkap dalam rongga kaviti mulut. Disebabkan ini, bau kurang enak dibebaskan. Bau ini menjadi gangguan apabila dihembus dari mulut semasa perbualan dan pertemuan sepanjang hari. Individu mungkin tidak menyedari yang nafasnya berbau kerana stigma sosial di sekeliling halitosis sering mengelakkan rakan-rakan dan keluarga daripada bertegur mengenainya.

Apakah punca nafas berbau? Tiada jawapan tunggal untuk soalan ini. Halitosis mungkin sukar untuk didiagnosis dan dirawat kerana ia mungkin berpunca dari satu atau lebih kawasan dalam mulut.

Kuman Mulut dan Nafas Berbau

Penjagaan mulut yang kurang baik menyebabkan kuman yang terkumpul dalam plak gigi membebaskan gas busuk yang menyebabkan bau mulut. Apabila kuman ini membiak dan berlakunya metabolisme dengan partikel makanan, ia melekat pada gigi dan gusi seterusnya menghasilkan sebatian sulfur mudah meruap (VSC).  VSC ini terdiri daripada hidrogen sulfida, metil merkaptan dan unsur sulfida lain, lalu menyebabkan pembebasan gas yang menambah kepada bau keseluruhan dari mulut. Peralatan gigi dan mulut seperti gigi palsu dan alat pemegang boleh mengumpul kuman tambahan. Tabiat penjagaan mulut yang baik, seperti memberus dan memflos untuk menyingkirkan plak dan partikel makanan, harus menjadi saranan utama bagi individu yang kurang kerap dalam penjagaan mulut di rumah. Selain itu, ubat gigi dan kumur mulut yang membunuh bakteria menyediakan kuasa membunuh kuman yang berpanjangan.

Jangkitan di dalam mulut sering berlaku akibat pertumbuhan bakteria. Gigi, gusi, tulang dan tisu di sekeliling mulut semuanya boleh dijangkiti oleh kumpulan bakteria berlainan yang berbeza dari segi bau. Kebanyakan kuman ini menghasilkan gas berbau yang mengubah deria rasa dan mengakibatkan nafas berbau. Gas berbau ini terhasil dan dibebaskan semasa mulut dibuka dan ditutup sepanjang fungsi harian normal. Cara yang paling berkesan untuk menghindarkan bau daripada jangkitan adalah dengan mengekalkan jadual rawatan gigi dengan kerap untuk mencegah jangkitan mulut seperti kerosakan gigi dan penyakit periodontal.

Lidah sering kali menjadi sumber utama pembiakan kuman. Permukaan berbonggol lidah mengandungi banyak papila kecil yang menghasilkan ruang kecil tempat kuman membiak dan menghasilkan sebatian bersulfur. Menyingkirkan dengan berhati-hati bakteria dan sisa makanan yang tinggal dalam kawasan kecil ini kerap kali mengurangkan pengumpulan gas yang mengakibatkan nafas berbau. Colgate mempunyai berus gigi inovatif yang menyingkirkan makanan dan plak dengan berkesan dari gigi dan dilengkapi pembersih lidah di belakang kepala berus. Berus ini direka bentuk khususnya untuk menjadi alat yang membersih gigi, lidah, pipi dan gusi.

Makanan dan Nafas Berbau

Sesetengah makanan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan secara sendiri dan semasa badan memprosesnya bagi pencernaan. Makanan seperti bawang putih, bawang merah, sebatian rempah dan kopi menjejaskan nafas dan kelenjar seseorang apabila ia melalui sistem pencernaan. Langkah-langkah harus diambil untuk menyegarkan nafas sehingga kandungan kimia makanan ini disingkirkan sepenuhnya daripada badan. Gunakan penyegar nafas seperti gula-gula tanpa gula dan pudina untuk menutup bau makanan tanpa menjejaskan kesihatan dan kekuatan gigi dan tisu mulut.

Isu Perubatan dan Nafas Berbau

Xerostomia, juga dikenali sebagai mulut kering berlaku kerana penghasilan air liur yang tidak mencukupi. Mulut memerlukan air liur untuk membersih dan melindunginya daripada pengumpulan asid dan kuman. Air liur membilas sel kulit mati dari mulut sepanjang hari, tetapi ia boleh berkurangan disebabkan oleh ubat tertentu, pernafasan mulut, penyakit yang menjejaskan fungsi liur atau umur. Ramai orang mengalami mulut kering sementara apabila mereka berasa gemuruh atau kerana dehidrasi. Doktor gigi boleh menilai kualiti dan kuantiti air liur untuk menentukan sama ada xerostomia menyumbang kepada nafas berbau seseorang individu.

Keadaan perut seperti pedih hulu hati, refluks asid, penyakit refluks gastroesofagus (GERD) dan gas juga boleh menyebabkan nafas berbau. Gas yang dikeluarkan dari perut mengakibatkan rasa dan bau yang kurang menyenangkan di dalam mulut. Rawatan bagi keadaan ini mungkin memerlukan rujukan kepada doktor perubatan, tetapi doktor gigi boleh sahaja menjadi penyedia perubatan pertama untuk melihat simptom pesakit.  Orang yang mengalami masalah cecair mengalir ke belakang hidung (post nasal drip) dan bernafas melalui mulut pada waktu malam juga boleh mengalami nafas berbau.

Langkah pertama ke arah merawat halitosis adalah untuk mengenal pasti simptom nafas berbau. Membincangkan simptom ini dengan doktor gigi boleh mencegah situasi sosial yang memalukan dan membantu mengekalkan kesihatan mulut.

Artikel ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mengenai topik berkaitan kesihatan mulut secara umum. Ia tidak bertujuan menggantikan nasihat, diagnosis atau rawatan profesional. Dapatkan nasihat daripada doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan lain yang berkelayakan sekiranya anda mempunyai pertanyaan berkaitan keadaan atau rawatan perubatan.